About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com
Showing posts with label kuantan. Show all posts
Showing posts with label kuantan. Show all posts

Wednesday, December 30, 2015

Projek Baginda di Kuantan Disambut Dengan Senyuman



Khamis 24.12.2015 bersamaan 12 Rabiulawal 1437.

Alhamdulillah, cantik sungguh permandangan pagi ini. Selawat dan Salam bergema memuji Rasulullah SAW, kekasih Allah. Hari ini sangat bermakna bagi kami. Terasa seronoknya lain macam.
Projek Baginda adalah projek tahunan daripada team Kindness Malaysia. Dan kami dari team Kindness Pahang tidak terkecuali untuk melaksanakan projek yang bagi kami sangat istimewa ini.

Kenapa ye sangat istimewa? Sangat istimewa adalah kerana idola kita, Nabi Muhammad SAW adalah idola kebaikan terhebat sepanjang zaman. Sepatutnya setiap daripada kita harus memperingati segala kebaikan baginda dan menjadikannya sumber inspirasi untuk kita menyebarkan juga kebaikan sesama manusia. 
Projek Baginda ini telah diadakan di Kuantan, Pahang di Persekitaran Malay Town, Stadium Darul Makmur dan Masjid Tepian Putra bermula pada pukul 10 pagi. Tempat perjumpaan dan berkumpul adalah di restoran D'Osiss. Terima kasih kepada pemilik restoran yang turut sama menaja air untuk para sukarelawan kami.

pemberian kismis kepada orang ramai

pelbagai reaksi yang diterima daripada orang ramai
Pada Projek Baginda ini, kami mengedarkan 1000 pek kismis kepada orang ramai di sekitar Kuantan Square dan Stadium Darul Makmur pada sebelah pagi. Manakala 100 pek yasin dan tasbih diedarkan kepada para jemaah di Masjid Tepian Putra selepas solat zohor.Alhamdulillah, projek berjalan lancar dan kami sangat teruja walaupun jumlah sukarelawan yang terlibat hanyalah 10 orang.

Reaksi penerima juga berbeza beza sepertimana projek projek lain. Ada yang teruja, suka, terkejut malah tidak terkecuali yang menganggap kami adalah penjual barangan. Ketika proses pemberian kismis, bermacam perasaan juga yang dirasa oleh para sukarelawan ini. Tetapi apabila dikenang semula, ianya menjadi pengalaman yang paling bermakna bagi mereka. Walaupun kadang tersinggung kerana ada juga yang baru pertama kali, tetapi tetap senyum apabila bercerita ringkas tentang pengalaman memberi.

pekerja am juga turut menerima sumbangan kismis

Apa yang pasti, senyuman penerima membuatkan sukarelawan ini tidak rasa kepenatan walaupun sanggup berjalan di bawah terik mentari semata-mata ingin berkongsi nikmat kebaikan ini. Sesuatu yang sukar digambarkan. Pengalaman sangat mengajar apa itu erti kepuasan.

Tanpa diduga dan tidak pernah terlintas difikiran apabila ada sekeluarga telah datang kepada kami dengan sejumlah air kocak yang sedap. "Kenapa beri kepada kami?!" Spontan. Itu soalan pertama yang keluar dari saya. Bila mengingatkan semula peristiwa itu membuatkan saya ketawa seorang diri.  "Ini amanah seseorang dari kejauhan dan dia ingin belanja kakak dan abang yang berbuat kebaikan ni. Jika kakak dan abang gembirakan orang lain, dia juga ingin gembira pula abang dan kakak ini" itu jawapan nya. Oh! Alangkah nikmatnya ketika itu. Rezeki sedang berbalik kepada kami. Menunjukkan betapa ajaibnya kebaikan. Terima kasih kepada adik yang baik hati ini. 

barisan sukarelawan Kindness Pahang
Selesai pemberian kismis, kami edarkan pula pek yasin dan tasbih kepada jemaah Masjid Tepian Putra. Projek berakhir pada pukul 2.30 petang dengan 1001 pengalaman kegembiraan yang hanya dilalui oleh sukarelawan sendiri. Sangat banyak senyuman indah yang terukir menyebabkan kami makin bersemangat dalam kerja-kerja kebaikan ini.

Semoga selepas ini semakin ramai yang mendapat inspirasi dan meluaskan kuasa kebaikan sesama insan. Kalau ada sumur di ladang, bolehlah kami menumpang mandi, kalau ada umur yang panjang bolehlah kita buat Projek Baginda lagi!!

Ashira Abu Bakar
Projek Koordinator
Kindness Pahang

Saturday, November 21, 2015

Feed The Homeless di Kuantan oleh Kindness Pahang



Projek08-Gelandangan-Feed The Homeless 
Tempat : Kuantan, Pahang
Masa : 11 malam 
Tarikh : 14/11/2015 (Sabtu)

Ini adalah projek pertama Kindness Pahang, menyantuni gelandangan sekitar Kuantan, Pahang. Sepanjang perjalanan ke lokasi, kami agak risau kerana hujan sangat lebat. Berdebar-debar apakah keadaan yang akan kami lalui nanti. Tepat pukul 11.05 malam, kami tiba di lokasi perhimpunan iaitu di Taman Kerang, Kuantan.

Setibanya di situ, kami telah dibantu oleh para sukarelawan Kindness Pahang dan sukarelawan perseorangan yang telah turut serta terus membungkus barang-barang makanan hasil sumbangan para dermawan yang sangat bermurah hati. Dalam satu bungkusan terdapat air kotak, air mineral, nasi goreng, roti dan buah. Alhamdulillah kami dapat mengumpulkan sebanyak 60 pek makanan.

taklimat do and dont sebelum memulakan misi Feed The Homeless

Memandangkan projek kali ini melibatkan ramai ahli, kami membahagikan kepada 3 kumpulan untuk bergerak kerana golongan gelandangan juga berselerakan di sekitar Kuantan ini. Satu kumpulan pergi ke kawasan Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA), satu kumpulan ke Kuantan Plaza dan sekumpulan lagi ke Pasar Besar Kuantan.

Sesi pengagihan bermula jam 12.05 pagi dan berakhir lebih kurang jam 1.10 pagi. Pelbagai rasa kami lalui sepanjang pengagihan tersebut. Sebelum terlibat dengan projek ini, tidak pernah pula terfikir keadaan gelandangan ini. Tetapi apabila melihat dengan dekat, betapa sayunya hati. Terasa betapa lambatnya kami mendidik diri dalam melakukan kebaikan ini.

Melihat mereka serba kekurangan, tidur malam berbumbungkan langit hitam pekat, beralaskan lantai sejuk, keras, kotor, berair berbanding kita beralaskan tilam bersih malah empuk. Berbantalkan lengan, simpulan baju lusuh, lipatan kotak buangan berbanding kita bantal 2, 3 biji untuk keselesaan teramat. Tiada baju persalinan berbanding kita yang lebih dari 1 almari baju dengan pelbagai pilihan. Tiada bekalan makanan berbanding kita yang makanan sangat berlebihan hingga dibuang begitu sahaja.

Lokasi berkumpul di Taman Kerang, Kuantan
Adakah mereka meminta untuk menjadi seperti itu? Tentu sekali lah tidak. Mereka juga mengimpikan segalanya yang baik sebagaimna kita. Tetapi sekarang masanya mereka diuji. Tanpa sedar kita juga sebenarnya diuji. Diuji apakah kita ada rasa peduli insan yang lebih susah berbanding kita, diuji adakah kita sentiasa mendongak ke langit tanpa memandang rumput di bawah, diuji ikhlas kah kita jika kita memberi pun hanya untuk segelintir golongan tertentu, diuji adakah masih ada sifat belas kasihan di dalam hati sanubari kita.

Paling menyentuh hati adalah ketika kami terserempak dengan sekumpulan kanak kanak yang bermain kegembiraan di lorong gelap. Sedihnya melihat keadaan begitu. Tentu sekali kita tidak mahu anak kita bermain di tempat sedemikian. Tetapi mereka masih melemparkan senyuman manis ketika kami mendekati mereka.

Ada yang semasa memberi bungkusan makanan, mereka terus membuka dan makan tanpa melihat kiri kanan mungkin kerana sangat lapar. Sambil mempelawa kami roti yang terdapat juga dalam bungkusan itu. Terkedu seketika di mana mereka hanya ada bekalan itu tetapi masih ingin berkongsi, berbanding kita yang masih berkira kira dalam memberi.

Ada juga situasi ketika salah seorang daripada mereka menceritakan kisah yang membuatkan kami terdiam berfikir. Katanya dia pernah menyertai program gelandangan ini suatu ketika dahulu, tetapi sekarang sudah tiada di Kuantan, tetapi malam  ini dia sangat terharu kerana adanya lagi program sebegini. Dan sekarang dia salah seorang yang menerima sumbangan pula.

gelandangan di Kuantan tidak seramai di Kuala Lumpur
Setelah selesai proses pengagihan, kami berkumpul semua di tempat permulaan untuk rumusan tentang program gelandangan ini. Terlalu banyak situasi yang menginsafkan kami sepanjang program tersebut dijalankan. Kesedaran ini tidak terjumpa di mana mana. Tidak perlu cerita yang panjang lebar untuk khabaran penginsafan, hanya paparan kehidupan yang berbicara kesemuanya.

Kami sangat berterima kasih atas segala sumbangan dari semua insan yang sangat bermurah hati menaja makanan dan tidak lupa juga kepada semua sukarelawan yang hadir untuk turut serta terlibat dalam program ini. Sungguh tidak kami menyangka terlalu ramai yang ingin berkongsi nikmat bersama sama gelandangan ini. Semoga usaha yang sedikit ini dikira dan dilihat olehNya. In shaa Allah kami akan  merancang lagi aktiviti seperti ini di lain masa, di lain ketika. Semoga mereka terus tabah dalam menghadapi kehidupan yang penuh cabaran ini.

Ashira Abu Bakar
Projek Koordinator Kindness Pahang
Kindness Malaysia

Monday, December 30, 2013

Misi Bantuan Pasca Banjir di Kuantan oleh Kindness


Alhamdulillah selesai sudah misi bantuan pasca banjir di beberapa buah kampung di Kuantan. Misi yang terdiri daripada sukarelawan Kindness dari Kuala Lumpur bertolak pada hari Sabtu lepas (28 Disember 2013) tengah malam dan terus ke Kuantan. Di sana sukarelawan Kindness terus singgah di sebuah homestay yang telah ditaja secara percuma untuk persiapan penghantaran bantuan ke lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti.

antara sumbangan yang telah diperoleh dari team Kindness Johor

Bantuan pertama telah dimulakan seawal jam 6.30 pagi selepas selesai solat Subuh sebelum bertolak ke Kampung Damai. Barang-barang keperluan dapur seperti beras, minyak masak, telur dan lain-lain diperoleh dari sebuah pasaraya borong tempatan. Dengan adanya sukarelawan Kindness dari Kuantan sendiri telah memudahkan perjalanan kami ke lokasi-lokasi yang kurang mendapat perhatian dan bantuan banjir.

Kipas meja untuk pakcik di Kampung Damai

Keadaan rumah yang sangat menyayatkan hati

bersama mangsa banjir yang juga seorang ibu tunggal dan tujuh orang anak

Barang-barang seperti kipas meja, lampin bayi dan wanita dibawa dari KL. Keperluan sebegini kurang popular tetapi kami percaya ia akan memberi manfaat kepada mangsa banjir. Kipas meja ini dapat dijadikan pengganti sementara alat-alat elektrik yang rosak kerana banjir. Saya sendiri tidak boleh tahan panas, dan apabila berpeluh, sudah pasti akan berasa tidak selesa dan akan ganggu emosi sendiri. Dan ini boleh member kesan kepada orang lain. Salah seorang penerima banjir mengatakan kipas meja ini amat berguna. Bukan setakat dapat menyejukkan, tetapi juga dapat bantu untuk halaukan nyamuk. Keadaan selepas banjir ini membuatkan nyamuk lebih berleluasa dan pihak Jabatan Kesihatan dari masa ke semasa telah memantau keadaan ini.

bantuan diagihkan untuk mangsa banjir di Kampung Kurnia

bersama keluarga dari Kampung Kurnia

kucing juga mendapat bantuan banjir

sukarelawan dan penerima

selesai misi, kami makan dulu!

Pihak Kindness ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberi sokongan dalam pelbagai bentuk, dari sumbangan kewangan, barang-barangan serta yang tolong menwar-warkan serta bantu untuk kumpulkan barang keperluan mangsa banjir. Terima kasih juga kepada syarikat HR Marketing kerana telah menyumbangkan susu coklat malt Hi Goat. Semoga Allah sahaja yang dapat membalas jasa-jasa anda semua.

Bagi orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan, atau menjadi penderma senyap, boleh turut serta kumpulan sukarelawan Kindness atau like fanpage kami di https://www.facebook.com/Kindness.my.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness
https://www.facebook.com/Kindness.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...