About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com
Showing posts with label kebajikan. Show all posts
Showing posts with label kebajikan. Show all posts

Monday, August 20, 2018

Ziarah Kindness Malaysia ke Kampung Santeh






Pada 28 Julai hingga 29 Julai 2018,  Kindness Malaysia telah menganjurkan program ziarah masyarakat Orang Asli di Kg. Santeh, Sungai Siput, Perak. Seramai 30 orang sukarelawan Kindness Malaysia dan AJK Jemaah Surau Ar-Shadiah, Pantai Dalam, telah menyantuni dan menziarahi masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman  yang terletak kira-kira 50 km dari Pekan Sungai Siput. Penduduk Kampung Santeh seramai 375 orang dan mempunyai 72 buah keluarga yang majoritinya menganut agama Islam.


Pemandangan yang indah di Kampung Santeh

Menikmati makan tengahari dengan bekal yang dibawa dan ubi kayu goreng


Setiba kami di Perkampungan Santeh dalam tengah hari, kami telah di sambut dengan meriah dan  dihidangkan makanan masakan masyarakat Orang Asli seperti ubi kayu. Kami turut berkongsi juadah yang dibawa bersama mereka untuk dinikmati bersama. Kebetulan program ziarah pada kali ini musim durian dan rambutan. Rezeki kami dihidangkan dengan pencuci mulut yang sangat lazat itu.

Buah durian dan rambutan yang dihidangkan untuk kami

Memasak sambil beramah mesra dengan penduduk kampung



Selesai  makan tengah hari, kami terus bergotong royong bersama penduduk kampung memasang khemah bagi memudahkan aktiviti dijalankan sepanjang kami berada disana. Disamping beberepa orang sukarelawan bersiap sedia untuk acara seterusnya iaitu  sukaneka dan makan malam.

Sukarelawan membantu penduduk kampung memasang khemah

Alhamdulillah khemah dapat didirikan


Acara dimulakan dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak. Seramai 60 orang kanak-kanak yang turut serta dalam pertandingan mewarna ini. Mereka sungguh bersemangat untuk menyertai pertandingan mewarna dan mempunyai bakat yang tersendiri dalam mewarna.   Kemudian, setelah selesai pertandingan mewarna, pertandingan sukaneka Nerf telah dijalankan. Pertandingan ini dianjur oleh Leg Godt Play well dan hadiah telah ditaja oleh LBK Malaysia (Legion of Bricks Keeper Malaysia). Ramai yang dapat menembak dengan tepat kearah sasaran. Semua kanak-kanak gembira dan bersemangat untuk menyertai pertandingan ini.

kanak-kanak semangat mewarna


Ramai yang mempunyai bakat mewarna

Ramai kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna

Salah seorang sukarelawan membantu kanak-kanak untuk mewarna

Pertandingan Nurf menarik minat kanak-kanak

Semua kanak-kanak ingin menyertai pertandingan menembak tepat ini.


Di sebelah petang pula,  acara diteruskan selepas Asar dengan mandi sungai bersama anak-anak orang asli berdekatan dengan kampung Santeh. Aktiviti ini yang paling di tunggu-tunggu oleh sukarelawan. Melihat alam anugerah ciptaan Allah yang sangat cantik memukau kami sebentar. Air sungai yang mengalir sangat jernih dan sejuk menaikkan semangat kami untuk terjun ke dalam sungai. Selesai di sungai, kami terus bersiap sedia untuk solat Maghrib berjemaah.

Sungai yang jernih dan sejuk

Sukarelawan dan kanak-kanak seronok mandi sungai


Jam 7.30 petang, penduduk kampung dan sukarelawan solat berjemaah waktu Mahgrib dan Isya'. Pengisian antara Maghrib dan Isya' diisi dengan ucapan dari Abang Karim ( Ketua Rombongan) dan diikuti tazkirah yang di sampaikan oleh Imam Surau Kg. Santeh, İaitu ustaz Muhammad yang juga ditugaskan untuk mengajar dan  memantau para jemaah dan penduduk Kg Santeh.

Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad



Solat berjemaah bersama penduduk kampung


Selesai tazkirah, sesi perkongsian dan solat Isya', penduduk kampung dan para sukarelawan dihidangkan jamuan makan malam hasil gotong royong bersama penduduk kampung. Ada juga hidangan istimewa dari orang kampung hasil tangkapan ikan di sungai, sayur kampung dan sambal istimewa. Hidangan istimewa mewa yang membuka selera kami pada malam itu. Antara menu yang disediakan ialah kari ayam, ayam amasak kicap, tumis sayur kubis, tumis pucuk paku, masak lemak pucuk ubi, ikan tiga rasa, sambal tumbuk ikan bilis dan ikan masin. Seperti biasa ubi kayu goreng, durian dan rambutan turut disediakan sebagai pencuci mulut. Selepas makan malam, aktiviti diteruskan dengan bersantai dan ramah mesra bersama orang kampung sebelum kami berehat dan tidur

Makan malam yang di masak oleh penduduk kampung dan sukarelawan


Durian yang menjadi tumpuan sebagai pencuci mulut selepas makan

Sesi ramah mesra bersama penduduk kampung turut disediakan rambutan dan durian


Keesokan harinya di mulakan dengan solat jemaah subuh dan di ikuti kuliah subuh yang di sampaikan oleh ustaz Muhammad. Selepas kuliah subuh, diteruskan dengan persiapan sarapan pagi iaitu  Mee goreng dan Bihun goreng masakkan Abang Karim dan para sukarelawan serta penduduk kampung yang lain. Semua sukarelawan menikmatinya dengan penuh berselera.

Selesai sarapan pagi, aktiviti diteruskan dengan sukaneka dewasa Pertandingan Sumpit. Seramai 15 Orang penduduk kampung telah mengambil bahagian dan tidak melepaskan peluang untuk merebut hadiah setiap kali tembakan yang terkena pada belon.

Antara yang menyertai pertandingan menyumpit

Salah seorang penduduk kampung sedang menunjukkan aksi menyumpit


Program berakhir dan diteruskan dengan  sumbangan seperti keperluan asas kepada penduduk kampung hasil daripada kutipan sumbangan orang ramai melalui para sukarelawan. Kami juga turut membeli hasil buah durian dan rambutan daripada penduduk kampung sebagai buah tangan pulang ke Kuala Lumpur. Sebelum berangkat pulang para sukarelawan tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenang-kenangan bersama Orang Kampung Santeh.

Gambar kenang-kenangan sebahagaian daripada sukarelawan

Tempat rehat yang dihasilkan oleh hasil seni penduduk Kampung Santeh


Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat terutama para sukarelawan Kindness Malaysia dan Jemaah Surau Ar-Syadiah Pantai Dalam, dalam menjayakan program ziarah Kindness Malaysia ke Kampung Santeh. Jutaan terima kasih diucapkan kepada para penaja yang banyak menyumbang bagi melaksanakan program ini. Semoga aktiviti ini dapat dianjurkan lagi bagi mendekatkan kita dengan masyarakat orang asli serta mendidik diri untuk lebih bersyukur dengan nikmat yang di beri kepada kita. Terima kasih.


AMRAIL DANIAL BIN ALIAS
PROJEK KOORDINATOR 
KINDNESS MALAYSIA

Wednesday, November 16, 2016

Projek Ziarah Kampung Orang Asli Pos Kemar



Pada 11-13 November 2016, Kindness Malaysia, Asrama Darul Falah (ASDAF), Beestorm Sports bersama-sama Sham Aris Auto Service telah menjayakan satu lagi program ziarah ke perkampungan orang asli. Projek kali ini telah memilih Kampung Jarau Baru RPS Kemar, Grik, Perak. Seramai 35 orang sukarelawan telah turut serta bagi menjayakan misi kali ini. Kedudukan geografi perkampungan orang asli kali ini di kawasan pedalaman dan terletak di atas Banjaran Titiwangsa memerlukan kenderaan yang sesuai untuk sampai ke sana. Terdapat dua jalan untuk sampai ke Pos Kemar iaitu jalan tanah merah melalui Sungai Siput atau pun menaiki bot merentasi tasik Banding melalui Grik. Kami memilih untuk menaiki pacuan empat roda (4x4) yang disediakan oleh Sham Aris Auto Service bersama kumpulannya yang merupakan pemandu yang berpengalaman merentasi hutan, bukit bukau, dan sungai. 

Antara sungai yang perlu dilalui untuk sampai ke Pos Kemar

Terdapat juga kereta yang mengalami kerosakan semasa perjalanan


Kampung Jarau Baru merupakan salah sebuah kampung yang terletak di Pos Kemar, Gerik. Kira-kira lebih 50 buah keluarga yang mendiami kampung ini yang terdiri daripada orang tua, dewasa dan kanak-kanak. Kawasan kampung yang terletak di pedalaman dan agak menyukarkan mereka untuk keluar dari kawasan kampung kerana memerlukan kos yang tinggi untuk bergerak keluar. Suasana kampung yang sangat nyaman dan menenangkan menjadikan kami sukarelawan berasa selesa di kampung ini.

Suasana kampung yang sangat menenangkan jiwa

Antara kenderaan yang kami naiki untuk ke pos kemar

Semua sukarelawan berkumpul di ASDAF pada pukul 10.30 malam dan sesi taklimat telah di berikan oleh Pengarah projek kali ini merangkap pengerusi Kindness Malaysia iaitu En Noriduan. Setelah taklimat dan persiapan barang-barang, kami bergerak dari ASDAF pada pukul 11.30 malam menuju ke utara. Perjalanan mengambil masa selama 5 jam untuk sampai ke Masjid Kampung Bawong, Sungai Siput. Kami berehat sebentar melelapkan mata selama sejam untuk menunggu waktu subuh. Setelah subuh, semua bersiap dan sarapan sebelum meneruskan perjalanan ke Pos Kemar pada jam 8.30 pagi.

Kanak-kanak menyambut kedatangan kami

Penyediaan bahan untuk memasak



Perjalanan ke Pos Kemar dari Masjid Kampung Bawong sejauh 55 km merentasi 4 sungai dan 3 puncak bukit mengambil masa selama 3 jam setengah untuk sampai ke sana. Kami sampai di Kampung Jarau Baru pada pukul 12.00 tengah hari. Sesampainya di sana, kami terus menurunkan barang yang diperlukan sepanjang berada disana. Semua sukarelawan mengambil tugasan masing-masing. Sebahagian sukarelawan meneruskan tugas menyediakan makanan tengah hari, sebahagian lagi membuat persediaan membalut hadiah dan sebahagian lagi cuba mendekati kanak-kanak di sana untuk sesi suai kenal. Semakin ramai penduduk kampung keluar membantu dan meraikan kedatangan kami. Kanak-kanak mula datang untuk menyertai pertandingan mewarna dan belajar membuat origami. Kanak-kanak sangat gembira berkongsi cerita mengenai persekolahan dan keindahan kampung mereka. 

Penduduk kampung juga turut membantu membalut hamper


Pertandingan mewarna bersama kanak-kanak

Sukarelawan membantu kanak-kanak dalam pertandingan mewarna


Setelah selesai aktiviti mewarna, kami semua menikmati juadah tengah hari. Menu tengah hari ialah kari ayam dan sayur kubis. Penduduk kampung bermurah hati berkongsi juadah bersama kami. Mereka menyediakan masak lemah pucuk ubi dan ubi goreng. Selesainya menikmati makan tengah hari, para sukarelawan solat zuhur secara berjemaah bersama penduduk kampung. 

Sukarelawan juga turut mencuba menggunakan sumpit

Acara menyumpit untuk golongan dewasa lelaki

Seterusnya persediaan untuk aktiviti sukaneka untuk dewasa dan kanak-kanak . Antara sukaneka yang diadakan  untuk kanak-kanak ialah belon semakin jauh, semakin sayang, cari gula-gula dalam tepung. simpulan kasih sayang, dan bawa bola ping pong dengan sudu. Sukaneka untuk dewasa wanita ialah, bowling kelapa dan makan buah epal tanpa memegangnya. Bagi acara untuk dewasa lelaki ialah pertandingan menyumpit. Acara sukaneka dimulakan pada jam 4.30 petang dan suasana pertandingan sangat meriah dengan sorakan setiap ahli kumpulan. Hadiah diberikan kepada setiap pemenang sejurus selepas pertandingan di jalankan. Setiap acara mendapat sambutan yang menggalakan daripada penduduk kampung. Selesai sahaja acara sukaneka, para sukarelawan mengambil peluang untuk turun ke sungai untuk aktiviti bebas. Sebahagian sukarelawan bersama kaum ibu menyediakan makanan untuk makan malam. 

Bersama peserta sumpit

wajah kanak-kanak yang menyertai sukaneka cari gula-gula dalam tepung

Setelah selesai solat maghrib, penduduk kampung dan para sukarelawan menikmati makan malam yg sangat sedap. Menu kali ini ialah sup tulang, ayam masak kicap dan dan sayur kubis. Setelah selesai makan malam, semua bersiap mengemas kawasan makan dan peralatan. Sebahagiannya lagi menyediakan tempat untuk tidur. 

Makan malam bersama penduduk kampung

Pada keesokan harinya, setelah selesai solat subuh, sebahagian sukarelawan turun ke kawasan dapur untuk penyediaan sarapan pagi. Terdapat juga mula mengemas barang persiapan untuk bergerak pulang. Selesai sarapan, beberapa orang sukarelawan mengambil kesempatan mengadakan aktiviti bersama kanak-kanak, sebelum gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kampung. Setelah selesai semua aktiviti, semua sukarelawan mula mengemas barang dan dimasukkan ke dalam kereta. Barang-barang sumbangan yang diberikan oleh paradermawan diserahkan kepada tok batin untuk dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung secara adil.

beramah mesra bersama kanak-kanak


antara sukarelawan yang terlibat yang menjayakan projek ini

Kami bergerak pulang tepat jam 10.30 pagi. Perjalan pulang berasa lebih pendek dan mengambil masa selama 3 jam setengah untuk sampai kembali ke Masjid Kampung Bawong. Rehat sebentar dan solat zuhur di masjid sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Kami daripada Kindness Malaysia mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua sukarelawan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, Jutaan terima kasih juga kepada rakan penaja, Beestorm yang telah menaja projek ziarah kali ni. Terima kasih juga ditujukan kepada penaja utama fotografi Kreadea dan juga rakan seperjuangan yang turut menjayakan projek kali ini iaitu ASDAF. Tidak lupa juga terima kasih kepada penyumbang dan penaja yang baik hati memberi tajaan dalam bentuk barangan dan wang ringgit. Semoga usaha dan sumbangan yang diberikan mendapat keberkatan dan redha dari-Nya, Semoga semua sukarelawan yang terlibat dapat mengambil pengalaman yang cukup bermakna ini sebagai salah satu batu loncatan untuk terus melakukan dan menyebarkan kebaikan. Alhamdulillah.

Fatin Amira Nabila Binti Tauran 
Projek Koordinator
Kindness Malaysia


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...