About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com
Showing posts with label kebaikan. Show all posts
Showing posts with label kebaikan. Show all posts

Wednesday, November 16, 2016

Projek Ziarah Kampung Orang Asli Pos Kemar



Pada 11-13 November 2016, Kindness Malaysia, Asrama Darul Falah (ASDAF), Beestorm Sports bersama-sama Sham Aris Auto Service telah menjayakan satu lagi program ziarah ke perkampungan orang asli. Projek kali ini telah memilih Kampung Jarau Baru RPS Kemar, Grik, Perak. Seramai 35 orang sukarelawan telah turut serta bagi menjayakan misi kali ini. Kedudukan geografi perkampungan orang asli kali ini di kawasan pedalaman dan terletak di atas Banjaran Titiwangsa memerlukan kenderaan yang sesuai untuk sampai ke sana. Terdapat dua jalan untuk sampai ke Pos Kemar iaitu jalan tanah merah melalui Sungai Siput atau pun menaiki bot merentasi tasik Banding melalui Grik. Kami memilih untuk menaiki pacuan empat roda (4x4) yang disediakan oleh Sham Aris Auto Service bersama kumpulannya yang merupakan pemandu yang berpengalaman merentasi hutan, bukit bukau, dan sungai. 

Antara sungai yang perlu dilalui untuk sampai ke Pos Kemar

Terdapat juga kereta yang mengalami kerosakan semasa perjalanan


Kampung Jarau Baru merupakan salah sebuah kampung yang terletak di Pos Kemar, Gerik. Kira-kira lebih 50 buah keluarga yang mendiami kampung ini yang terdiri daripada orang tua, dewasa dan kanak-kanak. Kawasan kampung yang terletak di pedalaman dan agak menyukarkan mereka untuk keluar dari kawasan kampung kerana memerlukan kos yang tinggi untuk bergerak keluar. Suasana kampung yang sangat nyaman dan menenangkan menjadikan kami sukarelawan berasa selesa di kampung ini.

Suasana kampung yang sangat menenangkan jiwa

Antara kenderaan yang kami naiki untuk ke pos kemar

Semua sukarelawan berkumpul di ASDAF pada pukul 10.30 malam dan sesi taklimat telah di berikan oleh Pengarah projek kali ini merangkap pengerusi Kindness Malaysia iaitu En Noriduan. Setelah taklimat dan persiapan barang-barang, kami bergerak dari ASDAF pada pukul 11.30 malam menuju ke utara. Perjalanan mengambil masa selama 5 jam untuk sampai ke Masjid Kampung Bawong, Sungai Siput. Kami berehat sebentar melelapkan mata selama sejam untuk menunggu waktu subuh. Setelah subuh, semua bersiap dan sarapan sebelum meneruskan perjalanan ke Pos Kemar pada jam 8.30 pagi.

Kanak-kanak menyambut kedatangan kami

Penyediaan bahan untuk memasak



Perjalanan ke Pos Kemar dari Masjid Kampung Bawong sejauh 55 km merentasi 4 sungai dan 3 puncak bukit mengambil masa selama 3 jam setengah untuk sampai ke sana. Kami sampai di Kampung Jarau Baru pada pukul 12.00 tengah hari. Sesampainya di sana, kami terus menurunkan barang yang diperlukan sepanjang berada disana. Semua sukarelawan mengambil tugasan masing-masing. Sebahagian sukarelawan meneruskan tugas menyediakan makanan tengah hari, sebahagian lagi membuat persediaan membalut hadiah dan sebahagian lagi cuba mendekati kanak-kanak di sana untuk sesi suai kenal. Semakin ramai penduduk kampung keluar membantu dan meraikan kedatangan kami. Kanak-kanak mula datang untuk menyertai pertandingan mewarna dan belajar membuat origami. Kanak-kanak sangat gembira berkongsi cerita mengenai persekolahan dan keindahan kampung mereka. 

Penduduk kampung juga turut membantu membalut hamper


Pertandingan mewarna bersama kanak-kanak

Sukarelawan membantu kanak-kanak dalam pertandingan mewarna


Setelah selesai aktiviti mewarna, kami semua menikmati juadah tengah hari. Menu tengah hari ialah kari ayam dan sayur kubis. Penduduk kampung bermurah hati berkongsi juadah bersama kami. Mereka menyediakan masak lemah pucuk ubi dan ubi goreng. Selesainya menikmati makan tengah hari, para sukarelawan solat zuhur secara berjemaah bersama penduduk kampung. 

Sukarelawan juga turut mencuba menggunakan sumpit

Acara menyumpit untuk golongan dewasa lelaki

Seterusnya persediaan untuk aktiviti sukaneka untuk dewasa dan kanak-kanak . Antara sukaneka yang diadakan  untuk kanak-kanak ialah belon semakin jauh, semakin sayang, cari gula-gula dalam tepung. simpulan kasih sayang, dan bawa bola ping pong dengan sudu. Sukaneka untuk dewasa wanita ialah, bowling kelapa dan makan buah epal tanpa memegangnya. Bagi acara untuk dewasa lelaki ialah pertandingan menyumpit. Acara sukaneka dimulakan pada jam 4.30 petang dan suasana pertandingan sangat meriah dengan sorakan setiap ahli kumpulan. Hadiah diberikan kepada setiap pemenang sejurus selepas pertandingan di jalankan. Setiap acara mendapat sambutan yang menggalakan daripada penduduk kampung. Selesai sahaja acara sukaneka, para sukarelawan mengambil peluang untuk turun ke sungai untuk aktiviti bebas. Sebahagian sukarelawan bersama kaum ibu menyediakan makanan untuk makan malam. 

Bersama peserta sumpit

wajah kanak-kanak yang menyertai sukaneka cari gula-gula dalam tepung

Setelah selesai solat maghrib, penduduk kampung dan para sukarelawan menikmati makan malam yg sangat sedap. Menu kali ini ialah sup tulang, ayam masak kicap dan dan sayur kubis. Setelah selesai makan malam, semua bersiap mengemas kawasan makan dan peralatan. Sebahagiannya lagi menyediakan tempat untuk tidur. 

Makan malam bersama penduduk kampung

Pada keesokan harinya, setelah selesai solat subuh, sebahagian sukarelawan turun ke kawasan dapur untuk penyediaan sarapan pagi. Terdapat juga mula mengemas barang persiapan untuk bergerak pulang. Selesai sarapan, beberapa orang sukarelawan mengambil kesempatan mengadakan aktiviti bersama kanak-kanak, sebelum gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kampung. Setelah selesai semua aktiviti, semua sukarelawan mula mengemas barang dan dimasukkan ke dalam kereta. Barang-barang sumbangan yang diberikan oleh paradermawan diserahkan kepada tok batin untuk dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung secara adil.

beramah mesra bersama kanak-kanak


antara sukarelawan yang terlibat yang menjayakan projek ini

Kami bergerak pulang tepat jam 10.30 pagi. Perjalan pulang berasa lebih pendek dan mengambil masa selama 3 jam setengah untuk sampai kembali ke Masjid Kampung Bawong. Rehat sebentar dan solat zuhur di masjid sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Kami daripada Kindness Malaysia mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua sukarelawan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, Jutaan terima kasih juga kepada rakan penaja, Beestorm yang telah menaja projek ziarah kali ni. Terima kasih juga ditujukan kepada penaja utama fotografi Kreadea dan juga rakan seperjuangan yang turut menjayakan projek kali ini iaitu ASDAF. Tidak lupa juga terima kasih kepada penyumbang dan penaja yang baik hati memberi tajaan dalam bentuk barangan dan wang ringgit. Semoga usaha dan sumbangan yang diberikan mendapat keberkatan dan redha dari-Nya, Semoga semua sukarelawan yang terlibat dapat mengambil pengalaman yang cukup bermakna ini sebagai salah satu batu loncatan untuk terus melakukan dan menyebarkan kebaikan. Alhamdulillah.

Fatin Amira Nabila Binti Tauran 
Projek Koordinator
Kindness Malaysia


Sunday, November 13, 2016

10 Kebaikan yang Tidak Perlu Wang Ringgit



Nak lakukan kebaikan ini sebenarnya tak susah pun. Tahukah kita ada banyak cara untuk lakukan kebaikan tanpa menggunakan wang Ringgit? Sempena dengan Hari Kebaikan Sedunia (World Kindness Day) hari ini, saya kongsikan 10 cara untuk lakukan kebaikan tampa menggunakan duit.

Beri laluan semasa memandu itu perlu kesabaran yang tinggi


1- Beri Laluan Semasa Memandu
Kita semua tahu di Malaysia kebanyakan pemandu suka memandu seperti pemandu F1. Kali ini kita cuba pula untuk beri laluan kepada pemandu lain yang ingin memotong. Beri laluan untuk orang melintas jalan. Bila kita tidak bersaing untuk beri laluan, sebenarnya kita dah kurangkan stress semasa memandu.

Like dan komen post kawan-kawan yang bawa mesej yang baik
2- Like dan Komen di Media Sosial
Kita ada ramai kawan dalam media sosial terutama sekali dalam Facebook. Apa kata setiap kali kita ternampak satu posting yang berunsur positif, kita like. Satu sumbangan like ini akan membuatkan kawan kita gembira secara tidak sedar. Jika lebih rajin, boleh komen tanda sokongan. Bila sokongan seperti ini berterusan, barulah lebih ramai kawan-kawan kita post sesuatu yang positif. Dan jika posting itu memberi inspirasi, kita share sekali di wall kita supaya lebih ramai dapat inspirasi tersebut.

3- Latih Diri Berterima Kasih
Nampak mudah, tapi tidak semudah itu. Sebenarnya mudah sahaja. Apa sahaja yang berlaku di sekeliling, kita ucapkan terima kasih. Bila kita beli sesuatu di gerai, kita ucap terima kasih kepada makcik yang berniaga. Bila orang tahankan lift untuk kita, kita ucapkan terima kasih. Ucapan terima kasih ini mampu membuatkan orang tersenyum.

Senyumlah dengan waiter, nanti dia akan sediakan makanan yang terbaik untuk kita
4- Layan Waiter Dengan Baik
Selalunya bila kita berada di restoran, waiter atau waitress akan datang untuk ambil tempahan makanan. Saya teringat kata-kata seorang rakan saya, jika kita kurang adab dengan waiter, maknanya kita ini bukanlah seorang yang baik. Cakap elok-elok, senyum dan layannya seperti mana kita mahu dilayan. Tak kiralah waiter itu orang tempatan atau orang asing. Lagi-lagi apabila di kedai mamak.

Duduk sama tinggi dengan anak kecil untuk eratkan keakraban
5- Mata Bertentang Mata
Ini dilakukan apabila kita dengan anak-anak kecil. Bila kita bercakap dengannya, kita boleh rendahkan badan kita dengan bercangkung dan bercakap dengannya supaya mendapat same level eye contact. Perbuatan ini akan buatkan kita lebih mesra dengan mereka, lagi-lagi jika bercakap dengan anak sendiri.

Masukkan gerai kegemaran anda dalam aplikasi peta seperti Waze dan Google Map
6- Tanda Gerai Kegemaran Dalam Peta Waze atau Google Map
Ini antara kegemaran saya. Kita tahu gerai roti canai paling sedap di sekitar rumah kita. Atau makcik yang jual nasi lemak Seringgit yang sedap. Kita boleh bantu perniagaan mereka dengan menanda perniagaan mereka dalam Waze atau Google Map. Lagi bagus jika kita letak sekali waktu operasi dan gambarnya. Dengan cara ini perniagaan mereka juga boleh berkembang.

Bawa pasangan bercuti bersama keluarga ialah satu idea kejutan yang menarik


7- Kejutan Untuk Pasangan
Lakukan kejutan untuk pasangan anda. Sekali sekala lakukanlah kejutan dengan mereka. Masak untuk isteri, buat home made card dengan ayat-ayat manis. Melakukan sesuatu di luar rutin ini akan buatkan kasih sayang itu bertambah erat.

Pujian dari boss itu penting untuk tingkatkan semangat bekerja
8- Pujian Dari Seorang Bos
Jika anda merupakan seorang bos dalam syarikat, ambil masa untuk hantar mesej memuji kerja-kerja yang dilakukan oleh pekerja anda. Ini cuma perlu kurang dari 5 minit. Guna aplikasi Whatsapp atau messenger yang lain. Pujian yang mudah seperti " Saya suka cara awak uruskan projek semalam", atau "Terima kasih kerana bantu saya minggu lepas". Memang nampak macam kena turunkan ego, tapi ini akan buatkan pekerja kita lebih bersemangat untuk bekerja.



9- Tegur Bila Ada Dalam Lift
Sudah pasti kita pernah berada dalam situasi dalam lift, tiba-tiba semua orang senyap. Seolah-olah semua ada kerja sendiri. Ini selalu berlaku dalam lift di kawasan perumahan. Ambil peluang untuk bertegur sapa, terutama yang telah lama menjadi jiran kita. "Cuti ke hari ini?". Contoh ayat yang boleh digunakan di hujung minggu. Atau boleh guna ayat-ayat ice breaking yang lain yang boleh memulakan perbualan.

Hubungi ibu bapa anda sekarang...

10. Hubungilah Ibu Bapa Anda
Tips terakhir sekali ialah hubungilah ibu bapa anda. Sekali sekala kena telefon, tanya khabar, bersembang dan boleh imbas kisah-kisah dahulu yang mencuit hati. Tak semua ibu bapa yang tahu guna aplikasi mesenger. Oleh itu hubungi mereka. Dengar suara itu adakala beri impak yang lebih besar buat mereka.

Mudahkan untuk lakukan kebaikan. Tidak perlukan duit, cuma perlu dilakukan sahaja. Saya tahu ada banyak lagi kebaikan yang boleh dilakukan tanpa menggunakan duit. Kongsikan idea anda di sini.

Artikel ini tersiar dalam Her World Malaysia dan The Vocket.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...