About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com
Showing posts with label Rumah Titian Kaseh. Show all posts
Showing posts with label Rumah Titian Kaseh. Show all posts

Monday, November 12, 2018

Bengkel Pengurusan Bersama Rumah Titian Kaseh


Alhamdulillah selesai bengkel pengurusan bersama Rumah Titian Kaseh. Kali ini team Kindness Malaysia berkongsi modul untuk mantapkan lagi pengurusan rumah kebajikan. Biasanya inilah antara cabaran yang dihadapi oleh rumah-rumah kebajikan. Mereka mempunyai semangat luar biasa dan kesabaran yang tinggi untuk terlibat dalam dunia kebajikan, tetapi kurang mahir dalam pengurusan.

Seawal jam 8.30 pagi sukarelawan Kindness Malaysia tiba di Rumah Titian Kaseh dan bermula dengan forum bersama tiga orang panel iaitu Puan Fardillah Sabki, pengasas Rumah Al Haq dan Puan Fazilah seorang OKU penglihatan yang berjaya dalam perniagaan urut bersalin dan juga pengasas Rumah Titian Kaseh sendiri iaitu MakPah atau Puan Sharifah.

Bermula dengan forum

latihan dalam kumpulan berlangsung selepas forum
Forum ini berkongsi tentang isu serta cabaran  dari perspektif masing-masing. Puan Fazilah berkata dengan kekurangan yang ada pada dirinya tidak menjadi penghalang untuk berjaya. Minat itu penting untuk mendorong diri sendiri ke arah kejayaan. Puan Fardilah pula berulang kali berpesan agar tidak putus asa bila berada dalam dunia kebajikan kerana kita semua dipilih untuk berada di jalan ini. Tuhan pilih siapa untuk ada di jalan kebajikan. Kerana tidak semua orang dipilih. Orang kaya yang mempunyai harta yang banyak pun tidak semestinya berada di jalan kebajikan katanya lagi.

Makpah pula menekankan pada ujian yang akan datang dan bagaimana kita menghadapinya. Bila kita berada di jalan yang mengajak orang untuk melakukan kebaikan, sudah pasti akan ada banyak ujian yang datang. Menurutnya lagi, untuk uruskan ibu-ibu tunggal, warga emas, anak yatim dan OKU pada waktu yang sama semestinya memerlukan kesabaran yang tinggi.

Penghargaan buat semua yang terlibat

Ustaz yang dedikasi menjaga anak-anak di Rumah Titian Kaseh

Pengurusan Rumah Titian Kaseh dan sukarelawan Kindness Malaysia

Selesai forum, pengurusan Rumah Titian Kaseh yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal dan ustaz dari luar masuk dalam kumpulan untuk berbincang dengan lebih teliti pendekatan yang sesuai yang dapat digunakan di Rumah Titian Kaseh.

Saya sangat simpati apabila mendengar kisah-kisah yang dikongsikan oleh Makpah. Mengapa seorang perempuan itu menjadi seorang ibu tunggal biasanya adalah kerana si suami yang tidak faham tanggungjawab mereka sebagai seorang lelaki. Dan didikan agama itu penting sekali.

Bengkel selesai jam 2 petang dengan perbentangan dari setiap kumpulan dan resolusi untuk jadikan Rumah Titian Kaseh lebih baik di masa akan datang.

Fatin Amira Nabila
Setiausaha Kehormat
Kindness Malaysia

Sunday, February 4, 2018

Kutu Akhirat: Satu Inovasi Sosial dari Kindness Malaysia

Logo rasmi Kutu Akhirat

Ramai yang bertanya apakah itu "KUTU AKHIRAT" yang seringkali disebut akhir-akhir ini di kalangan para sukarelawan Kindness Malaysia. Di bawah ini disediakan jawapan kepada persoalan yang mungkin sedang berlegar dalam fikiran anda tentang Kutu Akhirat.

Q:Apa itu Kutu Akhirat?
A:Kutu  Akhirat merupakan konsep menderma (infak) wang ringgit setiap bulan yang disumbangkan oleh orang ramai dengan jumlah yang kecil tetapi memberi impak yang besar.


Q:Siapa pemberi Kutu Akhirat?
A:Sesiapa jua yang ingin membantu mereka yang memerlukan secara konsisten dalam jumlah yang kecil. Di Kindness Malaysia, kami mewakilkan dua orang sukarelawan untuk menguruskan Kutu Akhirat


Q: Siapa penerima Kutu Akhirat?
A: Sesiapa jua yang memerlukan sama ada individu, institusi, madrasah mahupun rumah kebajikan dan rumah anak-anak yatim, asnaf, rumah orang-orang tua.


Q: Bagaimana dilaksanakan?
A: Derma dikutip melalui cash atau online banking kepada satu akaun bank setiap bulan (renewal setiap 6 bulan) dan dikumpulkan oleh person in charge yang digelar ibu/bapa kutu.


Q: Berapakah jumlah yang didermakan?
A: Paling minimum RM10 dan tiada had maksimum.


Q: Mengapa dilaksanakan?
A1: Bagi memastikan kos perbelanjaan bulanan sesebuah institusi / individu yang dibantu  tidak putus
A2: Menggalakkan orang ramai menderma secara konsisten
A3: Memberi peluang kepada orang ramai yang berpendapatan rendah untuk sama-sama menjana saham akhirat
A4: Pendedahan kepada NGO dan masyarakat bahawa kutu akhirat sebagai salah satu inovasi sosial dalam menyuntik dana dengan menggunakan cara yang lebih teratur


Q: Bila perlu menggunakan Kutu Akhirat?
A: Derma digunakan ketika kecemasan dan bagi menampung keperluan penerima


Sehingga hari ini, NGO Kindness Malaysia telah membuka 3 Kutu Akhirat menggunakan whatsapp group sebagai medium utama komunikasi untuk membantu Madrasah Hashimiah, Rumah Titian Kaseh KL (RTK) dan Adik Jaafar (Anak pelarian muslim Myanmar  yang masih kecil, ayahnya sakit di hospital manakala keluarganya cukup daif dan tidak dapat menampung perbelajaan seharian. Adik Jaafar mendapatkan wang seharian dengan mengutip kotak dan menjual saki baki sayur di sekitar pasar borong Selayang).


Buat masa ini, ahli kutu akhirat Madrasah Hashimiah telah mencecah hampir 200 orang penderma manakala penderma untuk adik Jaafar seramai 26 orang diikuti ahli kutu RTK seramai 20 orang. Kami menjangkakan bilangan ahli kutu akhirat ini akan meningkat dari semasa ke semasa.


Diharapkan semua ahli dapat meneruskan derma ini secara konsisten dan berterusan dan seterusnya mengajak orang lain untuk turut sama menjadi ahli atau sekurang-kurangnya menyebarkan Kutu Akhirat ini supaya boleh diikuti oleh orang lain.


Terima kasih kepada semua ahli Kutu Akhirat yang pemurah, Pengerusi Madrasah Hashimiah, Ustaz Hashim serta seluruh wargakerja dan anak-anak di madrasah yang memberi peluang kepada kami mengendalikan Kutu Akhirat ini, Encik Muhammad selaku pengasas Kindness Malaysia yang memberi kepercayaan penuh kepada kami melaksanakan amanah ini, saudara Fazlan yang banyak membantu menguruskan hal-hal berkaitan kutu akhirat juga kepada rakan-rakan sukarelawan Kindness Malaysia serta semua yang menyokong penuh perjalanan Kutu Akhirat. Terima kasih juga kepada seluruh wargakerja RTK dan adik Jaafar sekeluarga yang menyambut baik derma Kutu Akhirat ini.


Semoga kita sama-sama dapat menjana saham akhirat. Semoga bermanfaat buat semua. Mohon doa semoga usaha ini dapat diteruskan & disebarkan oleh semua dan jenama Kutu Akhirat ini mendapat tempat di hati masyarakat.


Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi ahli kutu akhirat atau ingin mendalami bagaimana kutu akhirat ini dilaksanakan, boleh email ke support@kindness.my atau boleh terus hubungi Iman (013-2900 246) atau Shahrizal (013-284 0838).


"Barangsiapa yang membantu menghilangkan satu kesedihan (kesusahan) dari sebahagian banyak kesusahan orang mukmin ketika didunia, maka Allah akan menghilangkan satu kesusahan (kesedihan) dari sekian banyak kesusahan dirinya pada hari Kiamat kelak. Dan barangsiapa yang memberikan kemudahan (membantu) kepada orang yang kesusahan, nescaya Allah akan membantu memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Dan barangsiapa yang menutup aib orang muslim , nescaya Allah akan menutup aibnya dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah akan selalu menolong seorang hamba selama dia gemar menolong saudaranya" (HR. Muslim).


Terima kasih.


Projek Koordinator
Kutu Akhirat
Shahrizal Shawal

Monday, September 14, 2015

Sambal Hitam dan Rempeyek dari Rumah Titian Kaseh


Saya sempat singgah di Rumah Titian Kaseh (RTK) yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa untuk hantarkan sedikit barang-barang sumbangan dapur. Kebetulan Makpah (Pengasas RTK) juga berada di sana. Makpah beri saya satu bekas rempeyek dan juga sambal hitam. Saya pun pulang ke rumah dan mencubanya. Rasanya memang tidak mengecewakan, memang sedap! Cukup rasa, dan agaknya produk ini memang dihasilkan dengan penuh kasih sayang.

Kepada penggemar sambal hitam dan juga rempeyek, boleh dapatkannya dari RTK. Rumah Titian Kaseh cukup terkenal dengan produk mereka sendiri untuk pasaran di sekitar Kuala Lumpur. Produk ini dihasilkan sendiri oleh warga ibu tunggal dan penghuni RTK bagi menampung kos harian rumah perlindungan ini.

sambal hitam yang enak dimakan dengan nasi putih

rempeyek sedap yang rangup mendapat sambutan ramai

RTK ini merupakan satu-satunya rumah perlindungan yang terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur, dan menempatkan anak-anak yatim dan miskin, perempuan yang memerlukan perlindungan, warga ibu tunggal, OKU dan juga warga emas.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan sambal hitam atau rempeyek ini, boleh hubungi pejabat RTK di 03-4023 5769. Harga bagi satu bekas sambal hitam ialah RM20, dan rempeyek berharga RM25.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas Kindness Malaysia
www.facebook.com/kindness.my

Sunday, January 29, 2012

Mencapai Hajat Kita dan Mereka

Hujung minggu kali ini saya berkesempatan untuk melawat Rumah Titian Kaseh (RTK) di Titiwangsa. Salah seorang sukarelawan Muslim Aid telah menyampaikan hajat untuk membantu anak-anak yatim dan kurang berkemampuan dan saya terus mencadangkan RTK. Ini ziarah kedua saya bulan ini di RTK dan dalam beberapa minggu lepas saya telah datang untuk program membuat sos bersama ibu-ibu tunggal di RTK.

 Makpah bersama produk sos RTK

Alhamdulillah, saya dapat berjumpa dengan Makpah, dan beliau telah menyatakan sos cili dan sos tomato kini sudah mempunyai tempahan dibeberapa lokasi di Kuala Lumpur. Saya kagum dengan cara Makpah, yang bukan sahaja sebagai pengurus di RTK, tetapi juga sebagai fundraiser, marketer untuk produk-produk industri makanan keluaran RTK. Produk sos cili dan sos tomato dipekkan bergantung kepada permintaan pelanggan antara setengah kilo hingga ke lima kilo sepek.

Walaupun Makpah sibuk dengan pengurusan RTK, melayan karenah anak-anak dan juga ibu-ibu, Makpah sempat juga berbual dan serba sedikit berkongsi pengalamannya dengan saya dan sukarelawan Muslim Aid yang bakal membatu pembelajaran anak-anak RTK.

"Mat, bila kita ada sesuatu hajat yang tidak terlaksana, kita cuba bantu permudahkan hajat orang lain, insyaAllah hajat kita juga akan tercapai. Ramai orang datang RTK, bantu anak-anak dan penghuni RTK, tak lama lepas itu mereka datang kembali, kata mereka rezeki makin bertambah, bisnes bertambah maju." kata Makpah.

Peringatan yang diberikan kepada saya sememangnya memberi kesan kepada hati saya. Bila kali terakhir saya permudahkan hajat orang lain? Saya teringat kata-kata Makpah ini pernah disebut di dalam hadis dan syukur pada Allah saya terjumpa sebuah hadis yang hampir serupa dengan kata Makpah.

"Seorang muslim itu adalah saudara bagi muslim lain. Beliau tidak boleh menzalimi dan menyusahkannya. Barangsiapa yang mahu memenuhi hajat saudaranya, maka Allah pun akan berkenan memenuhi hajatnya. Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan kepada seorang muslim, maka Allah akan melapangkan salah satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan Hari Kiamat nanti. Barangsiapa yang menutup keaiban seseorang muslim, maka Allah akan menutup keaibannya pada Hari Kiamat."~ Hadis riwayat Bukhari & Muslim
Sememangnya benar kata Makpah, dalam hadis sendiri, Rasulullah pun sendiri mengatakan begitu. Masuk tahun 2012 ini, banyak hajat yang saya ada, dan kebanyakan hajat-hajat yang ingin dilakukan itu agak kelam, saya sendiri tidak nampak jalannya. Namun berbekalkan hadis Rasulullah, nasihat Makpah lagi, insyaAllah saya akan usahakan agar hajat dan impian saya dapat dilaksanakan. Masa yang sama, tidak perlu lagi kita melengahkan bantuan hajat-hajat saudara, rakan atau orang-orang yang mungkin tidak dikenali. Kita sendiri tidak tahu, adakalanya dengan belanja kawan kita makan pun mungkin cukup bermakna buat dirinya yang pada masa itu agak kesempitan wang. Semoga usaha kita kearah kebaikan diterima dan diberkatiNya, insyaAllah.




bersama rakan di Pulau Pinang memberi kepada homeless


Muhammad bin Kamarulazizi

Tuesday, August 9, 2011

Fast 2 Feed 2011 di UIA PJ


Lokasi: Dewan al-Malik Faisal, UIA PJ
Tarikh: 8 Ogos 2011
Program: Fast 2 Feed anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia
Diraikan: warga Asrama Darul Falah (ASDAF) dan Rumah Titian Kaseh (RTK)

Alhamdulillah, program Fast 2 Feed(F2F) yang kedua berlangsung dengan jayanya di Universiti Islam Antarabangsa kampus Petaling Jaya. Program F2F anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UIA PJ (FSCC) dan Persatuan Bulan Sabit Merah UIA PJ meraikan 100 anak-anak yatim dan miskin, ibu tunggal dan OKU dari ASDAF dan RTK.

sukarelawan Muslim Aid bersama warga ASDAF

para dermawan berbuka semeja dengan anak-anak yatim yang diraikan

peluang bagi dermawan berkongsi pengalaman bersama anak-anak yatim


anak-anak yang diraikan

Program telah bermula pada jam 6.30 petang dan telah dihadiri oleh para dermawan yang telah menaja warga penerima untuk berbuka puasa yang majoritinya merupakan staf dari Petronas Gas Berhad. Sumbangan minyak masak cap Buruh juga telah ditaja oleh syarikat Lamsoon Sdn Bhd untuk 2 buah rumah kebajikan ini.

Program F2F seterusnya akan berlangsung di Masjid Salahuddin al-Ayubi di Taman Melati Gombak dimana kita bersama akan meraikan 200 pelarian Somalia pada 10 Ogos 2011 ini. Program akan bermula dengan Musabaqah Al-Quran pada jam 3 petang dan berakhir dengan program Fast 2 Feed menjelang waktu berbuka. Pada penaja yang telah menaja F2F pada 10 Ogos ini, kita jumpa di sana!

Muhammad bin Kamarulazizi

Thursday, July 21, 2011

Sukarelawan Muslim Aid di Rumah Titian Kaseh


Saya berkesempatan untuk ke Rumah Titian Kaseh (RTK) baru-baru ini untuk bertemu dengan pengasas RTK iaitu Puan Sharifah atau lebih dikenali dengan Makpah. Pertemuan kali ini adalah untuk mengaturkan kelas tusyen bagi anak-anak RTK yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan SPM tidak lama lagi. Kelas yang akan merangkumi subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains akan diajar pada hari Ahad dengan bantuan dari dua orang sukarelawan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid).

RTK masih memerlukan sukarelawan untuk bantu ajar anak-anak RTK bagi bagi subjek lain. Waktu yang sesuai ialah hujung minggu atau waktu bekerja dari jam 3 hingga 5 petang. Pada yang berminat untuk mengajar anak-anak RTK ini, boleh hubungi pejabat Muslim Aid di 03-22881996 atau ke pejabat RTK terus di 03-40255246 atau 03-40235769.

popia simpul yang sedap!


kuih raya yang lain

p/s popia simpul dan kuih-kuih raya yang lain boleh didapati di Rumah Titian Kaseh.

Muhammad bin Kamarulazizi

Sunday, December 26, 2010

Terima Kasih Kepada Penderma Untuk Program Malam Amal Setulus Kaseh Bersama Maher Zain


Semoga semua yang terlibat dengan Majlis Makan Malam Setulus Kaseh Bersama Maher Zain terutamanya urus setia dari Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia, Rumah Titian Kaseh, Innovative Management Consultancy, Alumni ESQ, Ramiza Synergy dan juga syarikat lain, juga kepada penderma-penderma yang sangat bermurah hati, korporat-korporat seperti Kuwait Finance House, MB Perak, Datuk Zambry, kerabat Selangor, kerabat Terengganu dan lain-lain serta rakan-rakan sukarelawan yang tidak putus memberi kerjasama yang tidak ternilai dan tidak dilupakan kepada Maher Zain Malaysia Fan Club yang sentiasa memberi sokongan padu kepada majlis amal ini.

Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian, sepeti yang disebut di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 261.

Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti 1 biji yang menumbuhkan 7 tangkai, pada setiap tangkai ada 100 biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kejendaki dan Allah Maha luas, Maha Mengetahui (al- Bararah: 261)
Terima kasih semua.

Muhammad bin Kamarulazizi

Saturday, December 11, 2010

Makpah, Rumah Titian Kaseh dan Muslim Aid

bersama Makpah di RTK

Saya baru sahaja selesai mesyuarat berkenaan dengan majlis makan amal Setulus Kaseh Maher Zain. Mesyuarat bermula jam 9 malam, dan selesai jam 12 tengah malam. Dengan hanya tinggal dua minggu sahaja lagi sebelum hari majlis, masih lagi terdapat beberapa perkara yang diselesaikan bagi memastikan majlis makan malam ini sukses.

Alhamdulillah jualan meja kini hangat dengan pakej meja RM2000 (meja ukhwah) sudah banyak dijual. Beberapa syarikat-syarikat besar juga dalam proses dijadikan penaja utama. Selepas selesai mesyuarat, saya mendapat tahu Makpah (Pengetua Rumah Titian Kaseh) belum lagi makan malam. Maka saya terus mengajak Makpah makan malam dan turut serta Kaklin, ibu dari Rumah Titian Kaseh (RTK) bersama encik Ahmad, sukarelawan di RTK.

Kami tiba di restoren Said Ali di Sri Rampai jam 12.30 malam dan terus memesan makanan. Makpah sibuk menjawab telefon ketika itu dan saya dapat rasakan panggilan dari ibu atau anak di RTK. Makpah memberitahu saya 3 orang anak RTK muntah-muntah dan dipercayai keracunan makanan. Makpah amat mengambil sirius dengan kesihatan anak-anak serta penghuni RTK. Saya dapat lihat kerisauan Makpah dan apabila selesai sahaja makan, kami terus pulang.

Dalam perjalanan saya pulang, saya mula rasa sedih dan dapat rasakan betapa beratnya Makpah memikul beban untuk menjaga golongan ibu-ibu di RTK, malahan anak-anak kecik yang sudah menjadi yatim atau piatu dan itu tidak masuk lagi warga OKU. Secara peribadi, saya punya seorang anak yang masih kecil. Kiranya anak saya sakit, sudah pasti saya akan rasa amat susah hati. Tapi ini baru seorang, jika nak dibandingkan dengan Makpah yang penghuni RTK berjumlah lebih 50 orang!

“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, Kami tidak memikulkan kewajiban kepada diri seseorang melainkan sekadar kesanggupannya, mereka itulah penghuni-penghuni syurga; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-A’raf: 42)
Beban yang dipikul Makpah amatlah berat. Dengan keadaan sekarang, mereka terpaksa pindah rumah mereka yang kedua, kerana rumah pertama tidak sesuai lagi untuk didiami. Rumah baru yang mereka (warga RTK) pindah ini pula perlu dibeli kerana ini adalah salah satu syarat yang dikenakan oleh pihak tertinggi untuk dijadikan rumah kebajikan yang dapat diberi bantuan. RM2.7 juta diperlukan untuk membeli rumah tersebut bagi warga penghuni RTK. Dimana Makpah hendak dapatkan RM2.7 juta untuk rumah tersebut?

Di sini timbulnya inisiatif untuk mengadakan Makan Malam Amal Setulus Kaseh bersama Maher Zain. Saya rasa amat terharu apabila Makpah mahukan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) untuk menerajui majlis makan malam ini dengan sokongan dari IMC dan Alumni ESQ. Ya, Makpah mahukan Muslim Aid, bukan sahaja untuk turut serta, tetapi untuk menjadi penganjur utama.

Walaupun Muslim Aid sendiri kurang mendapat sumbangan dari pihak korporat, tapi saya percaya dengan adanya dermawan-dermawan individu dan sukarelawan yang selalu konsisten bersama membantu Muslim Aid dalam usaha-usaha kemanusiaan dan kebajikan, majlis makan malam ini insyaAllah akan dapat dijalankan dengan jayanya. Saya menyeru dan memohon kepada para dermawan yang senantiasa bermurah hati membantu Muslim Aid, sekali lagi bersama Muslim Aid untuk membantu Rumah Titian Kaseh untuk mendapatkan rumah sebagai tempat perlindungan mereka. Setiap sen dan Ringgit yang disumbangkan, sesungguhnya akan menjadi saham yang amat bermakna di akhirat kelak, insyaAllah.

Kepada yang ingin menyumbang, boleh rujuk di sini.

Muhammad bin Kamarulazizi

Tuesday, December 7, 2010

Makan Malam Amal Setulus Kaseh Bersama Maher Zain anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia



Program terakhir Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) sebelum menutup tirai tahun 2010 dan program pertama bagi 1432H ialah Majlis Malam Amal Setulus Kaseh. Program makan malam amal ini merupakan kerjasama antara Muslim Aid dengan Rumah Titian Kaseh, Innovative Management Consultancy (IMC) dan alumni ESQ. Majlis makan malam amal yang akan diadakan di The Summit Hotel, Subang USJ ini bertujuan untuk membantu Rumah Titian Kaseh (RTK) mengumpul dana bagi membeli rumah yang mereka diami sekarang.

Dalam masa yang sama kini penghuni RTK dalam proses pindah ke rumah mereka kedua yang terletak di rumah perempuan di Taman Tasik Titiwangsa. Selepas 13 tahun menghuni di Lorong Maran, kini mereka terpaksa berpindah atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Dengan sebab ini, inisiatif timbul dari rakan-rakan Muslim Aid di IMC dan alumni ESQ untuk mengadakan Majlis Makan Malam Amal Setulus Kaseh. Majlis amal ini akan diadakan di The Summit Hotel Subang USJ pada 26, 27 dan 28 Disember 2010.

Harga Meja/Kerusi
Meja Cinta = (10 Meja x RM10,000.00)/ RM1000.00
Meja Kasih = (30 Meja x RM 5000.00) / RM500.00
Meja Sayang = (40 Meja x RM 3000.00) / RM300.00
Meja Ukhwah = (20 Meja x RM 2000.00) / RM200.00

Pembayaran boleh dilakukan ke Akaun CIMB: 1422-0000070-10-8 atas nama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia.

Selepas melakukan pembayaran, sila emailkan slip pembayaran ke mail@muslimaidasia.com

1- nama penuh:
2- nombor telefon:
3- pakej (kerusi atau meja):
4- tarikh makan malam
5- jumlah bayaran

Pada yang berminat untuk menyertai makan malam, atau ingin menaja anak-anak RTK untuk turut serta dalam majlis makan malam ini, boleh hubungi

1. Muhammad Kamarulazizi (Muslim Aid Malaysia) - 012 3377195
2. Nazirah Idris (IMC) - 013 3898534
3. Sukma (Alumni ESQ) - 016 3011540
4. Rumah Titian Kaseh – 03- 40255246

Hanya Allah yang akan membalas segala jasa penyumbang-penyumbang sekalian.
Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahu pun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat gandakan (pembayarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.
Al-Hadid: 18
Muhammad bin Kamarulazizi

Friday, November 19, 2010

Raya Haji Aidiladha di Rumah Titian Kaseh dan Asrama Darul Falah


Lokasi: Rumah Titian Kaseh (RTK) dan Asrama Darul Falah (ASDAF)
Tarikh: 17 November 2010

Hari raya Aidiladha tahun ini disambut di KL. Cuti raya hanya satu hari, dan saya membuat keputusan untuk beraya bersama penghuni RTK dan ASDAF. Selesai solat raya di surau pangsapuri, saya terus ke RTK yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa, tidak jauh dari rumah saya. Empat ekor lembu qurban sudah sedia untuk diqurbankan di RTK hasil sumbangan orang ramai. Saya disambut oleh Kak Lin dan kebetulan beberapa orang penghuni RTK pergi ziarah kubur.

Tepat jam 10.40 pagi saya terus ke ASDAF dengan membawa sekali pisau untuk melapah lembu-lembu yang akan diqurbankan di sana. Enam ekor lembu ditumbangkan di sana. Ramai saudara baru yang datang membantu untuk melapah dan melakukan pengagihan. Daging-daging qurban ini diagihkan terus pada hari yang sama dan sebahagian daripadanya di masak dan dibuatkan sup.

di Rumah Titian Kaseh


proses melapah di ASDAF

anak-anak ASDAF menikmati daging qurban


Kebetulan pada hari yang sama, pihak Muslim Aid sedang melaksanakan penyembelihan qurban untuk peserta-peserta Qurban For Life di Brisbane Australia.

Muhammad bin Kamarulazizi

Monday, November 15, 2010

Anak-anak ASDAF dan Rumah Titian Kaseh di Galeri Finas


Lokasi: Galeri Finas, Jalan Pahang Kechil, KL
Tarikh: 13hb November 2010
Program: Pertandingan Mewarna dan Tayangan Upin Ipin bersama anak-anak ASDAF dan Rumah Titian Kaseh

Galeri Finas telah menjemput anak-anak dari Rumah Titian Kaseh (RTK) dan Asrama Darul Falah (ASDAF) untuk menyertai pertandingan mewarna serta tayangan Upin dan Ipin. Program bermula jam 10.30 pagi dengan pertandingan mewarna diikuti pula dengan melawat galeri Finas.


kek yang dibawa oleh cik Azura

Anak-anak Rumah Titian Kaseh

sukarelawan Muslim Aid bersama anak-anak ASDAF

Anak RTK dan ASDAF bersama sukarelawan Muslim Aid

Pada jam 12 tengahari anak-anak RTK dan ASDAF menjamu makanan tengahari dan kemudiannya sesi penyampaian hadiah oleh Datuk Aziz Satar kepada pemenang pertandingan mewarna. Di sebelah petang pula sukarelawan Muslim Aid, cik Azura telah datang membawa kek hari lahir untuk anak-anak yang lahir pada bulan Oktober dan November.

Muhammad bin Kamarulazizi

Thursday, April 29, 2010

Keadaan Terdesak di Rumah Titian Kaseh

Saya telah menerima panggilan dari Rumah Titian Kaseh (RTK) dan amat berharap untuk menetapkan temujanji. Alhamdulillah saya bersama Muhardi dan Ismail bekesempatan untuk menziarah RTK.

Seperti yang diwar-warkan sebelum ini, rumah yang didiami RTK kini dalam proses untuk untuk dijual. Dan nasib penghuni RTK seperti anak-anak yatim yang kecil, ibu tunggal, warga tua dan OKU akan menjadi tidak terbela. Oleh sebab yang demikian, MakPah bersama pengurusan RTK yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal berhempas pulas untuk mendapatkan dana agar dapat membeli rumah tersebut. Nilainya yang agak tinggi (RM2.7 juta) mungkin dipengaruhi oleh lokasinya yang strategik di tengah-tengah kota Kuala Lumpur. Sebanyak 10% daripada jumlah harga rumah sudah dibayarkan kepada tuan rumah.

Nasib anak-anak RTK ini bergantung pada anda...

produk yang dihasilkan oleh Rumah Titian Kaseh untuk menampung kos perbelanjaan harian


Sistem wakaf yang dijalankan oleh pihak RTK juga telah mendapat sambutan yang baik dari orang ramai namun masih belum mencukupi. Dengan masa yang semakin genting, MakPah dan penghuni-penghuni RTK amat memerlukan jasa baik orang ramai untuk menyumbang, tidak kira atau banyak bagi pembelian rumah tersebut. Nasib penghuni RTK terutamanya anak-anak kecil ini yang hanya berumur 1 atau 2 tahun ini amat bergantung kepada keprihatinan anda semua.

Secara peribadi, agak sukar bagi saya untuk membayangkan keadaan dan nasib anak-anak ini sekiranya mereka terpaksa keluar untuk mencari rumah baru. Tempat tinggal atau 'shelter' adalah perkara asas kepada setiap manusia yang hidup di muka bumi ini. Dan mereka berhak untuk mempunyai rumah, atau tempat perlindungan. Saya menyeru kepada orang ramai di luar sana, yang mempunyai sedikit rasa belas ehsan, dan sedikit wang, agar disalurkan kepada Rumah Titian Kaseh bagi pembelian rumah mereka ini. Pada yang ingin menyumbang, boleh salurkan terus ke akaun Rumah Titian Kaseh di akaun Maybanknya di 564061002172 atas nama Persatuan Pengurusan Pusat Jagaan Titian Kaseh Kuala Lumpur. Untuk makluman lanjut, boleh hubungi pengurusan RTK di 03-40255246 atau Puan Anita di 013-3886462, Cik Rozy di 017-6438393 atau MakPah sendiri di 019-6455769.

salah seorang penghuni RTK yang mungkin tidak mengerti apa-apa yang berlaku sekarang

Semoga dengan sumbangan kita yang kecil ini, dapat mengukir senyuman manis dari anak-anak dan warga RTK yang ada sekarang ini. Pada yang ingin melawat sendiri Rumah Titian Kaseh, boleh ke Rumah Titian Kaseh, 62A-2 Lorong Maran, Taman Tasik Titiwangsa, 53200 Kuala Lumpur. Setiap sumbangan dikecualikan cukai pendapatan di Bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967. Ruj: LHDN.01/35/42/51/179-6.6665, tarikh Kuatkuasa: 01. 12. 2009

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, October 7, 2009

Katil Hospital telah tiba Rumah Titian Kaseh



Sebuah katil hospital yang bernilai lebih RM2000 telah disumbangkan kepada Rumah Titian Kaseh untuk kegunaan warga emas. MakPah iaitu penjaga di Rumah Titian Kaseh mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid ) atas sumbangan katil hospital tersebut dan pihak Muslim Aid sendiri mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan sumbangan melalui Muslim Aid.

Dengan lebih banyak sumbangan ke Muslim Aid, lebih ramai golongan yang memerlukan dapat kita bantu bersama. Semoga sifat murah hati golongan penderma ini mendapat ganjaran besar di akhirat kelak, insyaAllah.

Muhammad bin Kamarulazizi
Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia

Wednesday, September 3, 2008

Jualan Kuih Raya dari Rumah Titian Kaseh!

belilah kuih raya kami...

Makpah serta ibu-ibu tunggal Rumah Titian Kaseh ini ada menjual kuih2 raya sebagai income untuk menampung kos perbelanjaan Rumah Kebajikan ini. Pada yang berminat untuk order, boleh terus hubungi Makpah di 019-6455769


Antara kuih2 raya yang ada ialah
Mini Karipap 100 biji - RM13
Popia simpul/kecil 100 biji - RM13
Batang buruk 100 biji - RM13

Kuih siput 1/2 kg - RM13
Kuih bijan 1/2kg - RM13
Maruku 1/2kg - RM13

Coklat Chip 100 biji - RM24

Kuih raya ini boleh dibeli terus di
Rumah Titian Kasih (Pusat Jagaan Anak Ibu Tunggal & Anak Yatim)
62A-2 Lorong Maran
Jalan Kuantan
Tasik Titiwangsa
53200 Kuala Lumpur

Bersama kita bantu ibu2 tunggal di Rumah Titian Kaseh ini. Semoga dengan setiap pembelian akan dilipat gandakan rezeki dimasa hadapan insyaAllah.

Model2 untuk iklan kuih raya ini..:)
model dikalangan penghuni anak2 Rumah Titian Kaseh


maruku yang sodap!

popia simpul! nyum2!

siput lazat!

meh beli karipap mini!

saya xtau nama kuih ini...

-Muhammad bin Kamarulazizi-
Muslim Aid Asia

Thursday, August 28, 2008

Ziarah ke Rumah Titian Kaseh

Lokasi: Rumah Titian Kasih, Titiwangsa
Masa: 9am-11am

Hari ini saya berkesempatan untuk melawat sebuah rumah kebajikan di Titiwangsa, Rumah Titian Kasih. Berikut adalah detail tentang rumah kebajikan ini:

Nama: Rumah Titian Kaseh (RTK)
Alamat: 62A-2, Lorong Maran Off Jalan Kuantan,
Tasik Titiwangsa, 53200 Kuala Lumpur

Tel/Fax: 03-4025 5246
email: rumahtitiankaseh@yahoo.com
forum: www.rumahtitiankaseh.co.cc

PIC: Sharifah Adlan (MakPah) - 019-645 5769

Penghuni: 85 orang
Ibu Tunggal: 20 org
Anak2 Yatim: 51 org
OKU: 12 org
Warga Emas: 2 org


bahan2 untuk dibawa niaga

MakPah yang tabah

MakPah bersama Azami dan Aishah yang baru berumur 2 hari

pejabat Rumah Titian Kasih

ibu2 tunggal

Azami yang dulunya pernah mengidap penyakit jantung berlubang

warga emas

bersama Azami

Rumah kebajikan ini mempunyai kelainan sedikit dari rumah kebajikan atau rumah anak yatim yang lain. Ibu tunggal yang tinggal di sini biasanya akan berniaga sebagai income untuk Rumah Titian Kaseh ini. Anak-anak yatim di sini pula terdiri daripada perpecahan rumah tangga, sumbang mahram, dan lain-lain yang disebabkan dari kerakusan nafsu serakah. Maka OKU di sini pula kebanyakannya yang mempunyai masalah mental, seperti schizophernia. Saya kagumi ketabahan MakPah menjaga Rumah Titian Kaseh ini.

Kini mereka berhadapan dengan masalah tempat tinggal, kerana rumah yang disewa ini bakal diambil kembali dari Tuan tanah. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi terus MakPah di talian 019-645 5769, atau boleh hubungi saya sendiri di pejabat Muslim Aid Asia di 03-22881996.

-Muhammad bin Kamarulazizi-
Pengurus Dana dan Pemasaran
Muslim Aid Asia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...