About

Blog tentang aktiviti-aktiviti amal di dalam dan luar Malaysia

More About Me...

Kita pesimis dengan kesengsaraan insan yang menderita di serata dunia. Laman ini cuba mengundang kembali sekelumit fitrah insani yang cakna dan peka dengan kesengsaraan insan lain. Infaq di jalan Allah...

RSS Subscribe

Pengiktirafan dari World Kindness Movement

Kindness Malaysia kini secara rasminya merupakan ahli World Kindness Movement

Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Mangsa Rohingya di Arakan, Myanmar

Bersama pelarian Rohingya di Arakan (Rakhine), Myanmar

Bantuan Perubatan di Hebron, Palestine

Vitamin C untuk anak-anak Palestine di Hebron

Ziarah ke perkampungan orang asli

Bersama sukarelawan ke kampung orang asli di Pos Betau, Pahang.

Misi Gelandangan Feed The Homeless

Misi Gelandangan Feed The Homeless yang dijalankan setiap hari Sabtu 2 minggu sekali di sekitar Kuala Lumpur

Booking.com
Showing posts with label Rumah Anak Yatim. Show all posts
Showing posts with label Rumah Anak Yatim. Show all posts

Monday, November 13, 2017

Futsal Pre Kindness Cup Berlangsung Dengan Jayanya


Biar pun Futsal Piala Kindness 2018 bakal diadakan pada tahun hadapan, kehangatannya sudah mula terasa dengan adanya pertandingan Futsal Pre Kindness Cup yang diadakan sebagai persediaan untuk Futsal Piala Kindness 2018. Pertandingan ini juga telah diadakan bersempena dengan Hari Kebaikan Sedunia (World Kindness Day) yang jatuh pada 13 November setiap tahun.

Pertandingan futsal kali ini mendapat tajaan daripada TM dan kerjasama dari Kelab Chelsea Soljabiru melibatkan lima buah rumah kebajikan iaitu Asrama Darul Falah (ASDAF), Madrasah Hashimiah, Rumah Kasih Harmoni, Chow Kit Youth dan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash- Shakur. Lapan pasukan futsal bertanding untuk kategori lelaki dan lima pasukan untuk kategori perempuan dimeriahkan dengan pasukan futsal dari sukarelawan Kindness Malaysia, pasukan penaja TM dan juga ahli kelab Chelsea Soljabiru dimasukkan dalam peringkat kumpulan bersama dengan anak-anak dari rumah kebajikan.


Senaman ringan sebelum mulanya pertandingan

Pertandingan bermula

Wakil daripada pasukan TM

Sukarelawan yang bersiap sedia
barisan pasukan Chelsea Soljabiru

pasukan Rumah Ash Shakur

Barisan sukarelawan Kindness Malaysia

bersama pasukan yang menang
Pertandingan yang berlangsung di gelanggang futsal KSL Setapak bermula seawal jam 8 pagi dimana semua sukarelawan bersiap sedia menyambut kedatangan anak-anak yatim, asnaf dan pelarian. Pertandingan futsal ini bertujuan untuk promosikan Futsal Piala Kindness 2018 disamping menarik perhatian para penaja dan juga sukarelawan untuk terlibat sama. Futsal Piala Kindness 2018 kelak bakal menyaksikan lebih 20 buah rumah kebajikan yang terlibat dari seluruh negara. Pertandingan ini merupakan antara satu-satunya pertandingan tahunan yang melibatkan banyak rumah kebajikan. Disamping dapat membentuk cara yang sihat, Futsal Piala Kindness ini dapat mencungkil bakat yang terpendam yang ada pada diri anak-anak istimewa ini.

Bagi yang berminat untuk menjadi rakan penaja Futsal Piala Kindness 2018, boleh terus email kepada kami di support@kindness.my. Segala jenis penajaan amat dialu-alukan bagi bersama-sama menggembirakan anak-anak rumah kebajikan seluruh Malaysia.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia
0183800961

Wednesday, May 27, 2015

Adab Menjemput Rumah Anak Yatim Berbuka Puasa yang Ramai Tidak Ketahui



Orang ramai akan berebut untuk melakukan amal jariah terutama sekali menjelang bulan Ramadhan. Rumah-rumah anak yatim dan kebajikan, masjid dan surau, madrasah serta keluarga fakir miskin akan menerima kunjungan baik daripada individu, syarikat korporat mahupun agensi kerajaan. Kebanyakannya dengan hasrat yang sama, iaitu menyampaikan derma atau sumbangan. Atau paling tidak untuk jemputan berbuka puasa.

berbuka makan ringan dengan kurma dan kuih

Namun begitu, ada beberapa perkara yang menjadi dilema dan beban buat pengurusan rumah kebajikan. Antara beberapa perkara yang perlu diambil kira oleh setiap dermawan.

Adab Jemputan Berbuka Puasa

1- Pengangkutan 
Sediakan pengangkutan seperti bas untuk warga penghuni rumah anak yatim tersebut. Atau sekurang-kurangnya transport untuk mereka ke lokasi berbuka puasa. Tidak semua rumah kebajikan yang mempunyai bas atau transport sendiri. Meminta rumah kebajikan untuk menyediakan bas sendiri adalah beban kerana kos pengangkutan sendiri boleh menjangkau beberapa ratus Ringgit. Sekurang-kurangnya berikan duit untuk tambang ke lokasi majlis. Jika ada pegawai yang dapat turut serta dalam bas adalah lebih baik.

2- Ruang Solat 
Sediakan ruang untuk solat Maghrib. Koordinasi ini penting kerana anak-anak yatim ini biasanya sudah dilatih untuk solat berjemaah. Tapi apabila tiba bulan Ramadhan, pernah berlaku anak-anak yatim ini tidak mempunyai tempat untuk bersolat. Atau surau agak jauh dari tempat berbuka puasa. Kita cuba elak dari situasi melakukan kebaikan tapi masa yang sama melakukan dosa yang tidak disangka. Sekiranya aturcara majlis, melibat solat Isya dan tarawih adalah lebih menggalakkan.

3- Aturcara Majlis
Apabila merancang untuk berbuka puasa, adalah sangat baik jika organizer (dermawan) berbuka  dahulu dengan makanan yang ringan seperti kurma, kuih dan air. Kemudian solat Maghrib berjemaah dan selepas itu baru menjamu makanan berat. Boleh pilih anak-anak ini untuk bacakan doa berbuka puasa selaku tetamu yang diraikan.

4- Person in Charge (PIC) untuk Rumah Anak Yatim  
Biasanya anak-anak yatim ini akan diberikan meja khas untuk mereka duduk. Satu meja 10 orang dan ada sampai 5 hingga 10 meja untuk rumah-rumah kebajikan. Sebaiknya jika organizer dapat tugaskan sekurang-kurangnya seorang komiti untuk duduk semeja bersama dengan pengetua atau penjaga. Kadang-kadang pihak organizer terlepas pandang hal ini, membuatkan penjaga rumah anak yatim ini tidak tahu menahu flow program. Anak-anak nak pergi tandas pun tak tahu ke mana.

5- Sumbangan dan Duit Raya 
Selepas berbuka puasa, biasanya dermawan akan menyediakan duit raya untuk anak-anak rumah kebajikan tersebut. Sediakanlah sekali sedikit sumbangan untuk rumah kebajikan tersebut. Lebih indah jika dapat berikan duit raya kepada penjaga, pengetua atau sukarelawan yang bantu iring anak-anak yatim ini. Kita pun tahu, semua orang akan gembira bila terima duit raya, tak kira besar atau kecil. Pemberian goodie bag juga digalakkan.

6- Ruang Menunggu
Jemputan anak-anak yatim dan miskin biasanya akan bergerak daripada rumah kebajikan mereka selepas Asar. Ada yang terpaksa gerak sebelum Asar kerana risau tersangkut dalam kesesakan lalu lintas terutama sekali waktu orang pulang dari kerja. Bagi yang bergerak awal, mereka akan tiba di lokasi awal. Sebaiknya organizer sediakan tempat menunggu untuk mereka. Atau sekurang-kurangnya di dalam surau dimana anak-anak boleh mengaji al Quran dahulu sementara masuk ke dewan makan. Jika terus duduk di dewan makan, boleh tayangkan video pendidikan, atau paling kurang pun kartun Upin dan Ipin. Oh ya, perlu take note ada anak-anak ini yang bersekolah petang. Oleh itu agak sukar untuk mereka datang awal.

bantu untuk cedokkan makanan kepada anak-anak yatim.


Peluang untuk beramal semasa bulan Ramadhan ini sangat banyak. Syarikat korporat terutama sekali bahagian Korporat Komunikasi sudah pasti akan mula mencari-cari rumah anak yatim untuk diraikan. Kita rancang sebaiknya, supaya mereka yang kita raikan ini gembira dan majlis menjadi penuh barokah, insyaAllah.

Muhammad bin Kamarulazizi
Pengasas
Kindness Malaysia

Monday, May 25, 2015

10 Sumbangan Untuk Rumah Anak Yatim Selain Daripada Beras



Bulan Ramadhan merupakan bulan yang paling dinantikan oleh setiap Muslim seluruh dunia. Bulan yang penuh keberkatan dan boleh dikatakan hampir semua orang mencari peluang untuk melakukan amal ibadah untuk menggandakan pahala masing-masing. Tidak kurang dari itu, rumah-rumah kebajikan dan anak yatim turut menjadi tempat popular untuk dikunjungi serta menerima sumbangan.

Antara sumbangan yang sangat popular untuk disampaikan kepada rumah anak yatim ialah beras. Beras merupakan bahan asas yang juga makanan ruji masyarakat Malaysia dan setiap hari dimasak di rumah anak yatim. Populariti sumbangan beras ini meningkat apabila orang ramai lebih gemar menggunakannya untuk membayar fidyah. Fidyah bagi tahun  2015 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah RM1.80 bagi secupak beras (675 gram).

Sumbangan beras yang terlalu banyak adakala menyulitkan rumah-rumah kebajikan. Ada pernah satu kes dimana sumbangan beras ini sudah sampai ke siling, terlalu banyak! Masalah menjadi lebih rumit apabila beras sumbangan telah dijangkiti dengan kutu beras. Satu kampit beras yang terkena kutu beras ini akan menjangkit pek-pek beras yang lain dengan begitu cepat sekali. Bukan untuk tidak menggalakkan sumbangan beras, tetapi sekiranya ada pilihan lain, boleh juga sumbangan makanan yang selain daripada beras.

Antara sumbangan makanan atau barangan yang kurang popular tetapi amat diperlukan oleh rumah-rumah kebajikan adalah seperti berikut:

1- Minyak masak - setiap hari digunakan dan boleh tahan lama.
2- Biskut  - biasanya diberi kepada penghuni rumah kebajikan ketika minum petang dan minum malam selepas prep. Boleh berikan biskut dalam tin besar. Masa akan datang boleh ambil dan isi semula.
3- Ayam dan daging mentah - jumlah yang diperlukan bergantung kepada jumlah penghuni. Biasanya antara 200 - 300kg sebulan untuk 50 orang anak yatim. Biasanya rumah kebajikan akan mempunyai peti ais yang besar. Bagi rumah kebajikan yang belum ada, bolehlah sumbangkan peti ais besar kepada mereka.
4- Telur - Boleh tahan seminggu.
5- Vitamin C - sebotol biasanya boleh tahan sehari. Lebih banyak vitamin C lebih bagus. Boleh juga ganti dengan supplemen lain seperti habatusauda atau madu stick.
6- Sabun mandi - sabun mandi buku ini boleh dibeli dengan kuantiti yang banyak dan mudah untuk dibawa.
7- Ubat gigi - sama seperti sabun mandi, boleh beli dengan kuantiti yang banyak.
8- Serbuk basuh baju - Serbuk basuh baju (atau cecair) ini bergantung kepada rumah kebajikan tersebut, ada yang menggunakan mesin basuh. Ada juga yang melatih anak-anak untuk basuh baju sendiri. Untuk yang basuh baju sendiri, boleh beli pek kecil (selalunya harga RM1 sepeket) dengan kuantiti yang banyak.
9- Ubatan asas - Ubat-ubat asas seperti panadol (paracetamol), ubat batuk, ubat kudis, plaster, ubat sakit perut, garam ORS (untuk cirit birit), ubat kuning (untuk luka) dan set first aid.
10- Pen dan pensel - Pen dan pensel ini boleh dibeli bundle. Alat tulis lain juga digalakkan. Memang jadi kebiasaan pen atau pensel hilang, maka  anak-anak rumah kebajikan akan minta di pejabat.

Ada lagi keperluan-keperluan lain yang boleh disumbangkan seperi pad wanita, pemotong kuku, Milo (atau air coklat malt yang lain), teh, kopi, gula, kicap, cili dan tomato sos, sardin, susu pekat tin, susu serbuk dan lain-lain. Sumbangan dalam bentuk wang juga digalakkan. Boleh terus salurkan ke akaun rumah anak yatim atau datang terus ke pejabat untuk bertemu dengan pengetua atau staf rumah kebajikan tersebut.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada suatu pagi yang dilalui oleh seorang hamba kecuali dua malaikat turun. Satu daripadanya berkata: Ya Allah, berilah ganti orang yang berinfak (dermawan). Malaikat yang satu lagi berkata: Ya Allah, berilah kehancuran bagi orang yang kedekut.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad dari Abu Hurairah).
Muhammad bin Kamarulazizi
Pengerusi
Madrasah Hashimiah
www.hashimiah.blogspot.com

Tuesday, April 9, 2013

Projek Cadar oleh Kindness.my

Pasang cadar baru
Kindness.my (Kindness) yang merupakan sebuah organisasi social business atau lebih dikenali sebagai social entrepreneurship telah memulakan beberapa projek yang ringkas dimana Kindness menjadi platform yang menghubungkan para dermawan dan juga sukarelawan. Salah sebuah projek Kindness yang telah berlangsung baru-baru ini ialah Projek Cadar. Projek Cadar ini dimuat naik ke laman fanpage Kindness dan telah mendapat sambutan hangat dari orang ramai. Tidak sampai 2 hari, projek ini telah mendapat sumbangan cadar sepenuhnya. Dua puluh empat unit cadar single bed sheet, 100% cotton telah disumbangkan beserta dengan kalkulator dan kamus dwi bahasa untuk kegunaan anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim Ar-Rayyan, Seremban.

Sebelum ini, Kindness telah mengadakan program motivasi bersama Rumah Ar-Rayyan di Hulu Langat. Melalui program itu Kindness mendapat informasi berkenaan keperluan lain yang diperlukan. Selain dari memupuk semangat mereka untuk belajar bersungguh dan meningkatkan keyakinan, barang-barang asas seperti cadar ini juga diperlukan. Hasil dari perbualan dengan pengurus Rumah Ar-Rayyan, Encik Raimie,  Kindness mendapati mereka perlukan cadar, kalkulator untuk anak-anak yang mengambil PMR dan SPM tahun ini serta kamus untuk semua anak-anak.


bersama cadar baru mereka

pasang cadar
Butiran penerima adalah seperti berikut:
Nama Rumah: Rumah Anakku Sayang Ar-Rayyan
Alamat: 1013, Persiaran Semarak 2, Taman Panchor Jaya, 70400 Seremban, Negeri Sembilan
No tel: 06-6715935 ( Cik Salihah atau Encik Raimie)
Jumlah Penghuni: 11 orang anak yatim dan miskin (umur dari 7 tahun hingga 17 tahun dan semua lelaki)

Selesai penyerahan cadar, sukarelawan Kindness meneruskan aktiviti dengan mengajar anak-anak Ar-Rayyan ini membuat homemade playdough (tanah liat). Menurut salah seorang sukarelawan, homemade playdough ini dapat membantu merangsang kreativiti kanak-kanak di masa lapang. 

Bancuh tepung untuk hasilkan 'playdough'

dimasukkan pewarna

'playdough' terhasil

antara hasil anak-anak Ar-Rayyan
sukarelawan Kindness bersama anak-anak Ar-Rayyan

Pihak Kindess mengalu-alukan lebih ramai para dermawan dan juga sukarelawan untuk turut serta. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, boleh layari laman 
Fanpage Kindness di sini.

Tersiar di Harian Metro, 7 Mei 2013. Boleh rujuk di sini.



Muhammad bin Kamarulazizi
Trustee Kindness.my

Tuesday, March 26, 2013

Perihal Sedekah dan Rumah Anak Yatim Palsu

“Nabi Isa a.s. berkata kepada iblis yang bermaksud: “Siapa yang paling kau senangi? Jawab iblis: “Orang mukmin yang bakhil”. Nabi Isa a.s. bertanya lagi: “Siapa yang paling kau benci? Iblis menjawab: “Orang fasiq yang dermawan.” “Mengapa begitu?”, tanya Nabi Isa a.s. Iblis menjawab: “Ya, aku menginginkan dari orang mukmin yang bakhil agar ketamakannya itu menjerumuskannya ke jurang kemaksiatan, dan aku sangat khuatir kalau keburukan-keburukan orang fasiq itu terhapus oleh kedermawannya.” ~ Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Terkenang kisah di atas oleh salah seorang ahli Sufi yang amat saya kagumi iaitu Syeikh Abdul Qadir Al- Jailani. Kebanyakan kata-kata yang datang daripadanya amat menyentuh berkenaan dengan hal kerohanian dan amat menekankan aspek penyucian hati. Saya terpanggil untuk menulis berkenaan dengan isu terkini yang melibatkan rumah-rumah anak yatim atau rumah kebajikan yang dilabelkan sebagai rumah anak yatim palsu oleh sesetengah pihak dan individu. 

Dalam Islam sendiri, anak-anak yatim ini ditempatkan sebagai mereka yang istimewa. Seperti Firman Allah di dalam Al-Quran mengatakan
"...dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..."~ Al-Baqarah ayat 83
Rumah anak yatim ini tumbuh dengan banyak terutama sekali di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Apakah pendapat pertama yang terlintas dari fikiran kita berkenaan dengan kenyataan ini? Sebenarnya rumah-rumah kebajikan ini tumbuh dengan meluas adalah antara tanda-tanda Allah itu sayangkan kita, dan sentiasa memberi peluang kepada kita untuk menambah saham di akhirat. Setiap sumbangan yang kita berikan itu bercambah dengan cepat dengan syarat kita melakukan keranaNya.
“Bandingan pahala orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai itu pula mempunyai seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas rahmat kurnia-Nya, lagi Meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya. ”~Al-Baqarah ayat 261
Melabur saham akhirat ini mempunyai beberapa syarat yang penting bagi mendapat hasil yang sebenar. Ikhlas, dan mencapai keredhaanNya adalah kunci agar saham dibeli ini akan menjadi aset yang penting kelak. Dimana untuk beli saham akhirat ini? Dimana sahaja, tidak kira pada siapa atau apa., tapi ingat syarat yang sama, ikhlas dan keredhaanNya. Kita boleh berikan duit kepada peminta sedekah, dengan harapan duit yang diberikan itu akan memudahkan kehidupannya pada hari tersebut. Kita boleh belanjakan kawan kita makan, dengan harapan kawan kita itu juga terdetik untuk melakukan perkara sama kepada orang lain. Kita boleh sentiasa senyum dan bersabar apabila ada orang memaki kita, dengan harapan orang yang maki kita itu sedar dan tidak melakukan kepada orang lain. Kita boleh ajak penagih dadah makan bersama, dengan harapan penagih dadah tersebut akan rasa diri masih disayangi dan mungkin terdetik untuk berubah. Kita boleh bantu mat rempit yang terjatuh semasa berlumba di jalan raya, dengan harapan perbuatan kita ini akan melembutkan hatinya untuk menjadi insan yang lebih berguna. Semua ini adalah saham akhirat. Kita tidak nampak secara realiti hasil dari saham itu iaitu syurga. Sekiranya kita boleh lihat dengan mata sendiri bagaimana rupa syurga itu, sudah pasti orang ramai akan berebut-rebut untuk melakukan kebaikan. Contoh yang mudah, saham dunia. Ramai akan berebut apabila dapat tahu yang pulangan simpanan di sesebuah bank itu ialah 10% setahun. Sekiranya dilaburkan RM1000, maka akan peroleh RM100 dalam masa setahun. Adakah kita juga akan berebut untuk dapatkan syurga yang dijanjikan Allah?
"Sesiapa yang masuk syurga, ia akan merasakan kenikmatan dan tidak akan menderita. Pakaiannya tidak akan lusuh dan masa mudanya tidak akan habis. Di syurga terdapat hal-hal yang tidak pernah dilihat mata, didengar telinga dan tidak pernah terdetik di benak manusia"~ Hadis Riwayat Muslim
Tapi apakah yang akan berlaku sekiranya kita memberi sumbangan kepada "Rumah Anak Yatim Palsu"? Asalnya niat kita adalah untuk menyumbang kerana Allah. Apabila kita memberi, maka selesai sudah pelaburan saham kita untuk akhirat kelak. Dengan niat dilakukan hanya untuk mendapat keredhaanNya, insyaAllah sumbangan dan derma itu akan diterimaNya. Jika rumah itu palsu, atau anak-anak yatim itu palsu atau pengurusan itu palsu, itu adalah tanggungjawab mereka dengan Allah. 

Apa salahnya sekiranya kita menderma dan mendapati mereka bukannya anak yatim? Tiada salahnya, malahan kita membantu saudara kita. Ini yang dinamakan kindness. Kita berbuat baik tidak kira pada sesiapa pun, kerana apa yang kita kejar itu adalah keredhaanNya. Apa yang kita impikan itu adalah syurga yang abadi.

Oleh yang demikian, ayuh kita terus sahaja lakukan kebaikan. Selagi ada rezeki lebih, boleh kita kongsikan dengan anak yatim, orang miskin, peminta sedekah, adik beradik, kawan-kawan, pakgad, makcik cleaner mahupun bos kita. InsyaAllah akan peroleh keredhaanNya. Usah kita terlalu sibuk bertanya kemana duit sumbangan kita itu pergi. Itu rezeki mereka. Allah juga dah tetapkan rezeki kita juga. Sama-sama kita doakan agar kita sentiasa tergolong dalam insan-insan yang dikasihiNya dan tidak tergolong kepada mereka yang gemar kepada hal duniawi semata-mata.

p/s Sekiranya benar rumah anak yatim tersebut palsu, mari kita bantu pengurusan rumah anak yatim tersebut agar masalah ini diperbetulkan. Kita kasihan pada anak-anak yang menjadi mangsa. Setakat share dan kongsi tanpa bukti yang kukuh, risau jadi saham dosa pula untuk kita yang takkan putus dek cepatnya informasi sebegini tersebar melalui sosial media. Fikirkan yang terbaik, jika pengurusan rumah anak yatim itu salah, kita sama-sama bantu untuk betulkan. Lagipun, impian semua orang juga untuk masuk ke syurga, betul tak? :)

Muhammad bin Kamarulazizi

Monday, July 16, 2012

Majlis Tilawah Al-Quran dan Azan untuk Rumah Kebajikan Selangor 2012

Adik Anwar dari Madrasah Hashimiah dinobatkan sebagai juara Qari


Alhamdulillah, Sabtu lepas bersamaan 14 Julai 2012 telah berlangsungnya Majlis Tilawah al-Quran dan Azan untuk Rumah Kebajikan Selangor bertempat di Masjid Shah Alam yang telah menyaksikan lebih 10 rumah kebajikan hadir bagi program ini. Program ini diadakan setiap dua tahun dan telah dianjurkan oleh Badan Amal Siti Khadijah dengan kerjasama Masjid Sultan Salahudidin Abdul Aziz. Kategori baru telah diperkenalkan iaitu azan telah memberi peluang kepada anak-anak yatim dan kurang berkemampuan untuk menunjukkan bakat mereka sebagai seorang muazin.

Majlis Tilawah al-Quran ini bertujuan untuk menyemaikan sifat cintakan al-Quran terutama kepada anak-anak di rumah kebajikan dan secara tidak langsung dapat membentuk peribadi yang mulia. Pertandingan kali ini telah dimenangi oleh adik Anwar selaku juara bertahan bagi kategori Qari, manakala bagi kategori Qariah dan Azan dimenangi oleh peserta dari Badan Amal Siti Khadijah. Johan bagi setiap kategori telah membawa pulang wang RM1000, piala, sijil dan pakej Umrah.

Peserta dari Badan Amal Siti Khadijah yang telah mendapat johan bagi kategori Qariah
Para pemenang bergambar bersama penganjur dan pengurus
Adik Anwar di hadapan Madrasah Hashimaiah




InsyaAllah program sebegini akan diteruskan lagi pada 2014. Tahniah kepada Badan Amal Siti Khadijah atas penganjuran program yang cukup bermakna ini.

Muhammad bin Kamarulazizi

Wednesday, February 11, 2009

Pengagihan Daging Qurban Beku Fasa I


Lokasi: Rumah Kebajikan di KL dan Selangor
Tarikh: 11 Feb 09
Masa: 10am-5pm

Alhamdulillah, hari ini Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia telah memulakan pengagihan daging qurban beku fasa pertama bermula di Kemaman Terengganu, kemudian di Kuantan dan pada hari ini di sekitar KL dan Selangor. Lebih kurang 200 keluarga miskin di Terengganu telah menerima daging qurban beku Q4L ini dan lebih kurang 300 keluarga miskin di Kuantan dan Pekan. Hampir 1 tan daging qurban Q4L telah diagihkan kepada rumah-rumah kebajikan sekitar KL dan Selangor.


Rumah Anak Yatim Rohingya

Rumah Anak Yatim Syifa

Rumah Titian Kaseh

Antara rumah kebajikan yang telah menerima daging qurban ini ialah Asrama Darul Falah (ASDAF), Asrama Penyayang Nur Iman Setapak, Rumah Titian Kaseh, Rumah Silaturrahim Nurul Qanaah, Rumah Anak Yatim Syifa, dan dua buah Rumah Anak Yatim Rohingya di Selayang. Setiap rumah menerima lebih kurang 60kg daging qurban biri-biri Q4L. Daging qurban ini adalah sebahagian daripada daging Q4L. Daging Q4L yang ditinkan pula akan mula diagihkan pada hujung bulan Februari ini. Semoga peserta-peserta Q4L tahun lepas ini mendapat rahmat dan dimurahkan rezeki dariNya, insyaAllah.

Muhammad bin Kamarulazizi
Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia

Friday, September 19, 2008

Majlis Semarak Seni


Alhamdulillah. Majlis Semarak Seni anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Wilayah Persekututan Kuala Lumpur sukses! Empat buah rumah kebajikan telah dijemput untuk memeriahkan majlis ini. Rumah-rumah yg dijemput ialah Asrama Darul Falah (ASDAF), Rumah Hembusan Kasturi Klang, Rumah Limpahan Kasih Puchong dan Persatuan Ibu Tunggal, anak yatim dan OKU Cheras. Antara sponsor-sponsornya pula seperti Muslim Aid Asia, Persatuan Karyawan, Persatuan Seniman, Riders Malaya Community (RMC), Gabungan Mahasiswa Dinamik Pulau Pinang (GEMADA), Maggi, Milo dan Noraini biscuits. Kehadiran beberapa orang seniman seperti Ahmad Idham, Radhi Khalid, serta juga watak Gerak Khas dan AF telah memeriahkan lagi majlis ini.







anak-anak dari Rumah Hembusan Kasturi Klang

anak-anak dari Persatuan Ibu Tunggal, anak yatim dan OKU Cheras

anak-anak dari Rumah Limpahan Kasih Puchong

anak-anak dari Asrama Darul Falah (ASDAF)

Pihak Muslim Aid Asia mengucapkan tahniah kepada pihak Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Wilayah Persekututan Kuala Lumpur kerana telah bekerja keras dalam menjayakan majlis amal untuk anak yatim ini.

-Muhammad bin Kamarulazizi-
Pengurus Dana dan Pemasaran

Muslim Aid Asia


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...